Kampung Sebandi Hulu, Lundu
December 10, 2020Entrepreneurism to empower the women of Kampung Sebandi Hulu
December 10, 2020
Program pembangunan dalam bentuk penyediaan kemudahan infrastruktur dan kemudahan sosial di Kampung Tringgus Bong dilihat bukan sekadar untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk, juga bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk kampung.
Selain itu, program pembangunan yang dilaksanakan juga bertujuan untuk menggalakkan penduduk kampung menjalankan kegiatan sosial, aktiviti kemasyarakatan dan menyokong pembangunan aktiviti ekonomi penduduk kampung.
Menurut Ketua Kampung, Encik Ratep anak Guneng, 58, yang ditemuramah RAKAN Sarawak baru-baru ini berkata, antara projek yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu ialah projek baik pulih paip gravity, pembinaan jalan raya berturap dan pembinaan laluan pejalan kaki konkrit.
Selain itu, kerajaan turut melaksanakan pemasangan gravel atau premix di kawasan letak kenderaan Kampung Tringgus Bong, kawasan parkir kenderaan penduduk, pelawat, guru-guru dan staf Sekolah Kebangsaan (SK) Tringgus, menara telekomunikasi serta pusat infromasi pelancongan.
Dalam urusan pentadbiran kampung, golongan wanita turut memainkan peranan penting dalam menyumbang idea serta tenaga dan salah seorang daripada mereka yang sempat ditemuramah ialah Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Puan Zurina anak Toe, 37.
Mengulas tentang kemajuan Kampung Tringgus Bong, Puan Zurina berkata, Jika dilihat lebih lima tahun yang lalu, kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik, telekomunikasi dan akses internet di kampung ini sangat tidak memuaskan.
Kemajuan di kampung ini hanya dapat disaksikan sejak beberapa tahun yang lalu bermula dengan pembinaan jalan raya berturap yang sudah pastinya telah memberi manfaat besar kepada penduduk kampung kerana sebelumnya, jalan-jalan berbatu, berlubang dan becak ketika hujan amat menyukarkan pergerakan penduduk kampung.
Keadaan jalan raya yang teruk turut memberi kesan buruk kepada penduduk kampung yang ingin menjual hasil-hasil tani mereka kerana mereka terpaksa berjalan kaki dan mengambil masa yang sangat lama untuk membawa hasil tani mereka kepada pedagang cina di pekan.
Berbeza dengan sekarang, selepas adanya jalan raya berturap, pergerakan penduduk menjadi lebih mudah malah jumlah kenderaan di kampung ini juga semakin betambah.
Perkembangan yang sangat baik ialah, ramai lepasan sekolah yang sudah mendapat pekerjaan di sektor awam dan swasta sekaligus berjaya mengurangkan kadar pengangguran di kampung ini.
Pintu gerbang ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tringgus Bong
Bangunan Tadika Kemas Kampung Tringgus Bong
Selain jalan raya, banyak lagi kemajuan lain yang telah dapat disaksikan antaranya akses penghubung sudah bertambah baik dengan adanya Terminal Aperture Sangat Kecil (VSAT).
Kemudahan ini telah memudahkan orang kampung berhubung dengan rakan-rakan di kawasan lain malah, pelajar sekolah juga tidak lagi berdepan dengan kesukaran untuk mencari bahan rujukan atau maklumat bagi tujuan pembelajaran dengan adanya akses internet.
Laluan pejalan kaki konkrit
Bagi wanita yang tidak bekerja pula, ada diantara mereka yang giat mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan menyertai program Home Garden serta menceburi bidang pelancongan khususnya dalam menghasilkan kraf untuk meningkatkan pendapatan diri dan keluarga.
Puan Zurina berasa gembira dengan perubahan yang telah berlaku di kampung Tringgus Bong, namun masih berharap akan dapat menyaksikan kemajuan yang lebih pesat lagi agar golongan tua di kampung ini dapat menikmati impak positif pembangunan dengan sepenuhnya.
Beliau berkata demikian apabila mengingat kembali kesukaran hidup mereka satu masa dulu, justeru beliau ingin melihat golongan tua dapat menikmati pembangunan dan kemajuan yang telah dibawa ke kampung ini sepuas-puasnya.