Menjamin Sekuriti Makanan di Sarawak
Sekuriti makanan adalah suatu aspek kesejahteraan rakyat yang sangat penting dimana ia menyentuh tentang bekalan makanan yang mencukupi, berkhasiat dan semestinya harga mampu beli.
Justeru, ketidakjaminan makanan akan menggoyahkan hak asasi manusia dan menjadi mukadimah kepada masalah kesihatan, pemakanan dan pembangunan.
Perkara ini ditekankan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Encik Sirai Daha ketika ditemu bual RAKAN Sarawak.
Kerana itu, bagi menjamin sekuriti makanan di negeri Sarawak, M-FICORD telah mengambil beberapa langkah penting antaranya dengan meningkatkan keluasan kawasan pengeluaran makanan seperti Taman Agro, Taman Akuakultur, Zon Industri Akuakultur, Kawasan Penternakan Khinzir, Taman Teknologi Agro (SARTECH), Taman Pertanian Teliti dan sebagainya.
Seiring dengan zaman teknologi digital pada masa kini, M-FICORD turut berusaha meningkatkan adaptasi teknologi dalam sistem pertanian seperti penggunaan benih padi varieti moden, penggunaan inseminasi buatan, mekanisasi, automasi dan sebagainya.
Selain itu, M-FICORD turut memperkukuhkan rantaian bekalan melalui penubuhan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC), Terminal Agromakanan, Pasar Borong dan menaiktaraf jalan ladang.
Infrastruktur penanaman padi sehingga ke tahap tertier (penanaman padi boleh dijalankan dua musim setahun) turut dibangunkan manakala industri makanan ternakan dibangunkan dengan menggunakan biojisim kelapa sawit sebagai sumber gentian.
Antara lain, M-FICORD juga komited untuk memperluaskan kolaborasi strategik dengan menarik pelabur atau syarikat peneraju bagi mengusahakan pertanian secara komersial.
Bagi memastikan sumber makanan penduduk berada pada tahap yang optimum dan mencukupi, M-FICORD telah bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawahnya dalam pembangunan industri makanan termasuk melakukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan pelaksanaan program seperti Agropreneur Muda dan Komuniti Madani.
M-FICORD juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan bekalan dan harga barangan makanan sentiasa pada tahap yang memuaskan.
Seterusnya, M-FICORD komited untuk meningkatkan kawalan biosekuriti di pintu masuk bagi mengurangkan insiden perebakan wabak seperti African Swine Fever, Cattle Lumpy Skin Disease, Foot and Mouth Disease serta mempromosikan amalan pertanian baik bagi menjamin makanan adalah selamat dimakan.
Untuk memastikan jaminan keselamatan makanan di Sarawak dapat dipertingkatkan pada masa hadapan, M-FICORD telah memberi tumpuan terhadap beberapa fokus utama iaitu;
Berhubung dengan Dasar Sekuriti Makanan Sarawak, menurut beliau, ia adalah selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 peringkat kebangsaan.
Dasar yang dilaksanakan adalah dengan memberi fokus kepada peningkatan pengeluaran makanan seperti padi, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Rantaian bekalan juga diperkukuhkan melalui penubuhan CPPC, Terminal Agromakanan dan Pasar Borong; Mempromosikan penggunaan teknologi moden ataupun digital bagi mengoptimumkan pengeluaran; Menggalakkan penglibatan sektor swasta atau pelabur;
Mengembangkan industri hiliran yang melibatkan pemprosesan makanan; dan memperkasakan penyelidikan dan pembangunan pertanian seperti penggunaan teknologi pasca tuai, amalan agronomik, kawalan penyakit dan makhluk perosak, dan sebagainya.
Dalam pelaksanaan sesuatu projek pembangunan, banyak elemen yang perlu diselaraskan dan dipantau dengan baik dan salah satunya ialah dari segi pemberian peruntukan dan bantuan petani.
Seperti yang diterangkan, tanggungjawab dan fungsi utama M-FICORD adalah untuk menetapkan dasar dan hala tuju pembangunan industri pertanian di Sarawak.
Justeru, M-FICORD sentiasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh para pekebun kecil di luar bandar terutama dari segi pembangunan pertanian.
Sehubungan itu, M-FICORD akan memastikan semua program dan projek pertanian dilaksanakan dengan baik dan berhemah serta bantuan dapat disampaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
M-FICORD dan agensi pelaksana juga sentiasa turun padang untuk mendapat maklumat dan menyelesaikan isu pelaksanaan program atau projek pertanian.
Malah, M-FICORD akan memastikan semua program dan projek yang dilaksanakan oleh agensi-agensi pelaksana di bawah Kementerian adalah selari dengan dasar dan hala tuju yang ditetapkan oleh Kementerian.
Agensi-agensi pelaksana yang dimaksudkan termasuk Jabatan Pertanian Sarawak (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS), Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID), Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS).
Pelaksanaan projek-projek pertanian adalah berdasarkan kepada manual pelaksanaan projek atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh jabatan dan agensi pelaksana dimana ianya adalah penting bagi memastikan bantuan disalurkan dan diterima oleh golongan sasar.
M-FICORD juga akan mengadakan mesyuarat penyelarasan dan pemantauan secara berkala di peringkat Kementerian ataupun peringkat agensi pelaksana untuk memastikan projek dilaksanakan dengan jayanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12, sebanyak 183 projek akan dilaksanakan oleh agensi-agensi pelaksana seperti (kesemua projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan).
Menurut beliau, dalam RMKe-12, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sejumlah RM2.039 bilion untuk melaksanakan 65 program atau projek yang berkaitan dengan pertanian dan pembangunan luar bandar.
Pecahan peruntukan adalah seperti berikut;
Manakala, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.298 bilion bagi pembangunan industri pertanian yang terdiri daripada;
Pada tahun ini, M-FICORD akan mengambil bahagian dalam projek Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) bagi memperkasakan sistem pemantauan projek.
Tambah beliau, M-FICORD akan menginterpretasikan maklumat yang diperoleh daripada agensi pelaksana melalui penghasilan sebuah ‘dashboard’ yang mengandungi laporan dalam bentuk visual seperti graf dan carta.