Sejak menjadi kampung angkat MLA 21, pelbagai projek telah dilaksanakan dengan menggunakan kos yang paling minimum disertai dengan rangka kerja atau pelan projek yang begitu teliti.
Pelaksanaan program kampung angkat MLA 21 Rh Jarek sangat mengambil berat terhadap beberapa aspek seperti kepentingan Ahli Jawatankuasa (AJK), kepentingan untuk semua penduduk rumah panjang dan tidak menjadikan isu apabila projek yang dicadangkan dapat diterima ataupun tidak
Perkara ini didedahkan Penghulu Randi anak Elon ketika ditemu bual RAKAN Sarawak dan menurut beliau, Rh Jarek anak Klambu pernah menjadi Kampung Contoh Miri selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2005, 2006 dan 2007.
Selain itu, Rh Jarek anak Klambu turut mendapat Anugerah Emas bagi projek SMART i Community Initiative 2016 kerana diiktiraf sebagai penduduk rumah panjang yang telah memberi kerjasama terbaik dalam melaksanakan setiap projek, program mahupun aktiviti.
Jelas beliau, sepanjang berada di bawah seliaan MLA 21, penduduk di rumah panjang ini telah memberi kerjasama terbaik khususnya dalam aktiviti gotong-royong yang melibatkan pembangunan di peringkat rumah panjang khususnya berkenaan dengan kebersihan dan perparitan.
Rumah panjang ini juga telah dilawat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Miri, dan hasil lawatan tersebut, rumah panjang ini telah dimasukkan ke dalam program rumah bebas asap rokok di bawah program KOSPEN (Komuniti Sihat Perkasa Negara).
Menurut beliau, sebelum program rumah bebas asap rokok ini dimulakan, KKM Bahagian Miri telah mengarahkan penduduk rumah panjang melaksanakan Program Menurunkan Berat Badan.
Sesungguhnya, penyertaan rumah panjang ini dalam program rumah bebas asap rokok tidak sia-sia apabila mereka berjaya mendapat penganugerahan daripada KKM setalah menunjukkan komitmen terbaik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang dikehendaki oleh Pejabat Kesihatan.
Rumah Panjang Sungai Ukong telah dijemput untuk menerima anugerah tersebut di suatu majlis yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.
Berkenaan dengan pembangunan, Penghulu Randi memberitahu, sebelum bersama MLA 21, kawasan rumah ini adalah tidak bersimen dan apabila hujan turun, penduduk terpaksa menggunakan ‘kasut but’ apabila keluar dari rumah kerana keadaan tanah yang sangat becak disebabkan hujan.
Setelah menjadi kampung angkat MLA 21, mereka mula merancang program yang dapat membawa kemajuan kepada rumah panjang mereka.
Salah satunya adalah menyimen hadapan rumah panjang dan membuat parit konkrit di mana ia telah dilaksanakan secara bergotong royong oleh penduduk rumah panjang tanpa melibatkan kontraktor.
Mereka juga turut melaksanakan sistem perparitan yang lebih baik di hujung rumah panjang, dengan membuat sebut harga untuk mendapat peruntukan dari segi bahan daripada MLA 21.
Hasil kerjasama dan komitmen yang begitu baik daripada penduduk rumah panjang dengan agensi-agensi Kerajaan dan juga pihak swasta, mereka juga telah diberi berjaya membina tandas khas untuk pelawat.
Setelah projek selesai, mereka meminta Majlis Bandaraya Miri (MBM) bahagian kejuruteraan menilai hasil kerja mereka khususnya terhadap projek-projek yang telah berjaya dilaksanakan.
Menurut penghulu Randi, peruntukan yang diberikan untuk menyimen hadapan rumah (antara parit dan tangga) adalah sebanyak RM35, 000, tetapi ia hanya menggunakan membelanjakan sekitar RM5,000 lebih. Sahaja.
Manakala, untuk tandas khas pelawat, mereka juga dapat menyiapkannya secara bergotong royong dengan hanya menggunakan peruntukan sebanyak RM8,000 lebih.
Banyak lagi projek-projek pembangunan lain yang telah dilaksanakan secara bergotong-royong tanpa melibatkan kontraktor seperti pembinaan Bilik Gerakan yang mana peruntukan adalah daripada wakil rakyat di kawasan mereka.
Pada 2014, mantan Perdana Menteri iaitu Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah merasmikan bilik Gerakan tersebut, dan ia telah menjadi suatu kebanggaan buat penghuni rumah panjang ini kerana satu-satunya Bilik Gerakan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri.
Bagi Penghulu Randi, beliau tidak merasakan bahawa rumah panjang ini ketinggalan dari segi pembangunan kerana banyak kemajuan yang telah dapat disaksikan sejak mereka tinggal di sini.
Menurut beliau, ahli parlimen di kawasan mereka telah memberi peruntukan untuk membuat pendawaian elektrik fasa satu sehingga fasa tiga.
Dari segi pendidikan pula, beliau sangat terharu kerana adanya keprihatinan daripada Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, YB Datuk Dr Ripin bin Lamat terhadap pendidikan anak-anak dengan membangunkan sebuah TABIKA Kemas untuk penduduk rumah panjang.
Mereka kini sudah mempunyai bangunan TABIKA Kemas Sungai Ukong yang dibina dengan bangunan konkrit dilengkapi dengan bahan-bahan untuk tujuan pengajaran yang diperlukan.
Dari segi bekalan air, rumah panjang ini sudah lama menikmati bekalan air bersih yang dibekalkan oleh LAKU Management Sdn Bhd.
Mereka juga bakal menikmati capaian internet yang lebih bagus apabila jaringan telekomunikasi 5G yang dibina di persimpangan yang terletak 150-meter dari rumah panjang mereka siap dan beroperasi.
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Jarek anak Klambu turut menubuhkan Biro Pemantauan Kebersihan Air untuk menjaga kebersihan air minuman di rumah panjang mereka.
JKKK rumah panjang ini turut terlibat dengan program yang berkaitan dengan isu-isu dadah di mana mereka bukan sekadar menyertai program, marah turut didedahkan dengan program-program yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.
Misalnya, mereka telah menghadiri Simposium Pemulihan Antarabangsa (IRS) 2023 yang mana ia merupakan salah satu usaha kerajaan menangani isu dadah dan bahan terlarang di peringkat antarabangsa.
Inilah antara faktor-faktor yang telah menyumbang kepada kejayaan Rumah Panjang Sungai Ukong sehingga mereka diiktiraf sebagai kampung contoh selama tiga tahun berturut-turut.