Projek Agropolitan merupakan salah satu inisiatif penting yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
Dengan fokus kepada pertanian dan aktiviti ekonomi berasaskan sumber, projek ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pendapatan masyarakat, tetapi juga untuk memperkasa pembangunan sosioekonomi serta meningkatkan kualiti hidup.
Sebagai contoh, projek Agropolitan Batang Lupar yang telah dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit bermula 2010 oleh agensi pelaksana iaitu FELCRA Berhad, telah mula mengeluar hasil pada 2015 sekali gus telah mampu memberi manfaat kepada penduduk di kawasan terbabit.
Kelebihan dan manfaatnya bukan hanya memberi peluang pekerjaan tetapi pelbagai aspek lain apabila kawasan ini dibangunkan dengan pelbagai prasarana dan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air bersih dan sebagainya.
Dengan kerjasama baik daripada FELCRA Berhad dan penduduk setempat, pembangunan ladang ini terus berjalan dengan baik dan berjaya merubah kehidupan kebanyakan penduduk setempat.
Salah satu daripada komponen Projek Agropolitan Batang Lupar yang memberi impak besar terhadap pembangunan komuniti di kawasan ini ialah pembinaan bangunan gerai jualan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman adalah agensi pelaksana yang telah diamanahkan oleh pihak KKDW untuk menjayakan pembinaan bangunan gerai jualan tersebut.
Sebanyak lima (5) unit premis perniagaan (gerai) telah siap dibina pada 27 Januari 2014 dan telah diserahkan kepada Majlis Daerah Sri Aman pada 3 Februari 2023.
Premis tersebut telah beroperasi dan kini diuruskan oleh Koperasi Peserta Rancangan FELCRA Kawasan Batang Lupar Berhad.
Manakala pelaksanaan dataran kejat di hadapan 5-unit gerai perniagaan di Agropolitan Batang Lupar telah siap dilaksanakan pada Mei 2019 dan telah beroperasi sepenuhnya.
Antara komponen lain dalam Projek Agropolitan Batang Lupar ialah pembangunan Ladang Sejahtera seluas 1,595 hektar ditanam dengan tanaman kelapa sawit.
Kira-kira 50% (850 hektar) daripada kawasan yang ditanam telah mulai dituai pada Januari 2015 manakala 655 hektar berhasil pada 2016 menjadikan luas keseluruhan berhasil berjumlah 1,505 hektar.
Selain itu, turut dibina ialah 126 Unit Penempatan; Dewan; Tadika (Siap pada 9 Disember 2011); Surau (Siap pada 11 Oktober 2013); Jeti (Siap pada 1 Disember 2013); Bekalan Air, Bekalan Elektrik, Jalan Dalaman dan Sistem Perparitan.
Dari sini kita dapat lihat bahawa, projek agropolitan ini sesungguhnya telah memberi pelbagai manfaat kepada komuniti setempat antaranya, ia telah berjaya meningkatkan pendapatan peserta.
Tambahan pula, apabila menerusi projek ini, teknologi dan inovasi dalam pertanian diperkenalkan, sudah tentu petani dapat meningkatkan hasil tanaman dan pendapatan mereka yang lebih tinggi.
Selain itu, projek ini juga telah membantu mencipta peluang pekerjaan baharu dalam sektor pertanian dan industri berkaitan.
Dari segi pembangunan infrastruktur pula, pembinaan jalan, pasar tani, dewan dan kemudahan-kemudahan lain akan meningkatkan capaian dan membantu petani memasarkan hasil mereka.
Projek agropolitan ini telah menunjukkan kejayaan di beberapa lokasi, dengan peserta melaporkan peningkatan hasil dan pendapatan mereka.
Namun, cabaran seperti kekurangan sumber kewangan, akses kepada teknologi, dan perubahan iklim perlu diatasi untuk memastikan keberlanjutan projek ini.
Hal ini kerana, projek agropolitan sebenarnya telah menawarkan harapan baharu bagi masyarakat desa untuk keluar dari belenggu kemiskinan dan ketidakpastian ekonomi.
Dengan pendekatan pertanian moden dan sokongan yang berterusan, ia berpotensi untuk mengubah landskap ekonomi desa, menjadikannya lebih mampan dan berdaya saing.
Melalui kerjasama antara kerajaan dan masyarakat setempat, matlamat ini boleh dicapai, menjadikan pertanian sebagai pemangkin utama pembangunan luar bandar.