Pelancongan yang bertanggungjawab dan mesra alam kini menjadi trend global, dan Sarawak tidak terkecuali dalam usaha mempromosikan eko pelancongan sebagai satu bentuk pelancongan lestari yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat tempatan.
Melalui konsep eko pelancongan desa lestari, Sarawak berjaya menarik pelancong yang mencari pengalaman autentik di samping memastikan pemeliharaan alam sekitar dan warisan budaya tempatan.
Salah satu inisiatif utama dalam mempromosikan eko pelancongan desa lestari adalah pencalonan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Taman ini terkenal bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadi tetapi juga kerana sejarah prasejarahnya yang unik.
Taman Negara Niah merupakan tempat penemuan rangka manusia tertua di Asia Tenggara dan ia juga kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.
Pencalonan ini menunjukkan komitmen Sarawak dalam memastikan warisan budaya dan alam ini terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Selain Taman Negara Niah, Sarawak juga kaya dengan produk eko pelancongan yang lain. Taman Geo Delta Sarawak, yang baru sahaja dilancarkan, adalah salah satu contoh produk pelancongan mesra alam yang mempromosikan pemuliharaan alam sekitar melalui pelancongan.
Di samping itu, usaha untuk mempromosikan ‘Heart of Borneo’ sebagai salah satu kawasan pemuliharaan alam yang penting terus dipergiatkan.
Namun begitu, eko pelancongan desa lestari tidak hanya bergantung kepada daya tarikan alam semula jadi.
Pelancongan berasaskan komuniti turut memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan dan kelestarian inisiatif ini.
Melalui program pelancongan berasaskan komuniti, masyarakat luar bandar diberi peluang untuk memperkenalkan budaya, tradisi, dan cara hidup mereka kepada pelancong.
Ini bukan sahaja memberikan pengalaman yang lebih mendalam kepada pelancong, tetapi juga memberi sumber pendapatan yang stabil kepada masyarakat tempatan.
Menurut Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), kerajaan Sarawak berhasrat untuk meningkatkan pelancongan berasaskan komuniti sebanyak 20 peratus menjelang 2030.
Inap desa adalah salah satu bentuk pelancongan berasaskan komuniti yang semakin mendapat sambutan. Dengan penambahan jumlah inap desa di Sarawak, pelancong kini berpeluang merasai kehidupan desa yang autentik, sambil menyaksikan sendiri keindahan alam semula jadi yang masih belum tercemar.
Cabaran dalam memajukan eko pelancongan desa lestari adalah memastikan bahawa pembangunan pelancongan dilakukan secara seimbang dan bertanggungjawab.
Aktiviti pelancongan yang berlebihan boleh memberi tekanan kepada alam sekitar, menyebabkan kemusnahan habitat, pencemaran, dan kehilangan kepelbagaian biologi.
Oleh itu, kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif untuk membangunkan pelan pengurusan bagi kawasan-kawasan pelancongan yang sensitif ini.
Pada tahun 2022, Sarawak Forestry Corporation membangunkan pelan pengurusan bagi beberapa taman negara utama termasuk Gunung Mulu, Niah, dan Bukit Lambir.
Pelan-pelan ini bertujuan untuk memastikan bahawa pembangunan pelancongan di kawasan ini dilakukan secara mampan dan tidak menjejaskan kelestarian ekosistem.
Eko pelancongan desa lestari di Sarawak juga memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk penduduk tempatan, pengusaha pelancongan, dan pihak berkuasa.
Dengan kerjasama erat ini, Sarawak mampu menjadi destinasi eko pelancongan yang terkenal di peringkat antarabangsa sambil menjaga kelestarian alam sekitar dan budaya tempatan.
Kerjasama ini juga memastikan bahawa manfaat ekonomi dari sektor pelancongan dapat dirasai oleh penduduk luar bandar, sekali gus mengurangkan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.
Dalam konteks eko pelancongan desa lestari, pendidikan dan kesedaran adalah aspek penting yang perlu dipupuk.
Masyarakat tempatan perlu diberikan latihan dan pengetahuan yang mencukupi mengenai pengurusan pelancongan yang bertanggungjawab serta kelestarian alam sekitar.
Ini bagi memastikan bahawa mereka dapat mengekalkan daya tarikan alam semula jadi dan budaya mereka, sambil memanfaatkan peluang ekonomi yang dihasilkan oleh pelancongan.
Pada masa yang sama, pelancong yang datang ke Sarawak juga perlu didik mengenai pentingnya memelihara alam sekitar dan menghormati budaya tempatan.
Kesedaran mengenai eko pelancongan boleh dipertingkatkan melalui program-program kesedaran awam, papan tanda maklumat di destinasi pelancongan, dan kerjasama dengan pemandu pelancong yang berpengetahuan.
Selain itu, teknologi juga boleh memainkan peranan dalam memastikan pengurusan pelancongan yang lebih mampan.
Penggunaan teknologi hijau dan inovasi dalam pembangunan infrastruktur pelancongan dapat mengurangkan impak alam sekitar dan meminimumkan jejak karbon.
Sebagai contoh, penggunaan tenaga solar di inap desa atau pusat pelancongan luar bandar, serta kaedah pengurusan sisa yang lebih mesra alam dapat membantu menjaga kelestarian alam sekitar.
Kesimpulannya, eko pelancongan desa lestari adalah langkah penting yang diambil oleh Sarawak dalam mempromosikan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mesra alam.
Dengan kombinasi keindahan alam semula jadi, warisan budaya yang kaya, dan penglibatan aktif masyarakat tempatan, sektor ini mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.
Namun, kejayaan, pengusaha pelancongan, masyarakat tempatan, hinggalah kepada pelancong itu sendiri untuk memastikan bahawa pembangunan yang dilakukan adalah mampan, bertanggungjawab, dan tidak mengorbankan alam semula jadi serta warisan budaya yang bernilai tinggi.
Rujukan
BERNAMA. (2024). Kedah Terima Geran Rm15.2 Juta Jayakan Program Desa Lestari Sejak 2013. BERNAMA. https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2271911
Lucia Terey John. (2021, November 16). Pelancongan berasaskan komuniti di Sarawak akan diperhebatkan lagi. Utusanborneo.com.my. https://www.utusanborneo.com.my/2021/11/16/pelancongan-berasaskan-komuniti-di-sarawak-akan-diperhebatkan-lagi
Pandemik COVID-19 beri peluang Malaysia fikirkan masa depan pelancongan – MOTAC. (2023). Astroawani.com. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pandemik-covid19-beri-peluang-malaysia-fikirkan-masa-depan-pelancongan-motac-394086
Pusat pembiakan ikan di kawasan Sistem Tagang. (2012, September 24). Borneo Post Online. https://www.theborneopost.com/2012/09/25/pusat-pembiakan-ikan-di-kawasan-sistem-tagang/
Sarawak dalam proses calon Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia. (2022, May 25). Utusanborneo.com.my. https://www.utusanborneo.com.my/2022/05/25/sarawak-dalam-proses-calon-taman-negara-niah-sebagai-tapak-warisan-dunia
Sarawak utamakan tenaga boleh baharu bagi capai masa depan sifar bersih. (2023). Astroawani.com. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sarawak-utamakan-tenaga-boleh-baharu-bagi-capai-masa-depan-sifar-bersih-411014
Yahaya, K. (2022, October 19). 13 kampung terpilih Program Desa Lestari bangunkan ekonomi penduduk. MalaysiaGazette. https://malaysiagazette.com/2022/10/19/13-kampung-terpilih-program-desa-lestari-bangunkan-ekonomi-penduduk/