Ruby, seekor orang utan betina sedang bergayut sambil menggendong anaknya Ooooha (jantan) yang berumur 7 tahun untuk keluar mendapatkan makanan.
Ruby dan Ooooha ialah antara lebih 20 orang utan yang ditempatkan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh (Semenggoh Wildlife Centre) yang terletak kira-kira 24-kilometer dari bandar raya Kuching.
Pusat pemuliharaan berkenaan yang menyediakan persekitaran semula jadi yang luas serta mudah diakses berjaya mengekalkan keseimbangan antara keselamatan dan kesejahteraan ‘penghuninya’ dengan pengalaman lawatan yang menarik buat para pengunjung.
Walau bagaimanapun, peluang untuk menyaksikan orang utan di sana tidak selalunya baik, terutama pada musim buah kerana orang utan lebih gemar mencari sumber makanan dalam habitat semula jadi berbanding dengan makanan yang disediakan oleh renjer.
Sekiranya bernasib baik, pengunjung berpeluang menyaksikan Ruby dan Ooooha serta banyak lagi orang utan memunculkan diri ketika waktu makan antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi dan pukul 2 petang hingga 4 petang.
Bagi pengunjung yang berasal dari negara-negara barat dan Eropah, pengalaman menyaksikan sendiri hidupan liar yang tidak terdapat di negara mereka adalah momen yang akan diingati untuk selama-lamanya.


