Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) memandang serius akan isu berkaitan pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.
Oleh sebab itu, MANRED kerap mengadakan sesi dialog bersama komuniti luar bandar kerana pemilik tanah NCR harus memahami proses usaha sama dengan agensi Kerajaan Sarawak dalam memajukan tanah NCR selain untuk memudahkan usaha mereka membangunkan tanah itu secara terancang.

Menurut Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Tanah Adat dan Agro-Komoditi, MANRED Encik Sirai Daha ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak baru-baru ini memberitahu, terdapat dua sesi dialog yang diadakan oleh MANRED iaitu sesi dialog umum dan dialog lapangan.
Dialog Umum bertujuan untuk memberi penerangan tentang tatacara, prosedur dan proses pembangunan tanah NCR serta penerangan mengenai pelbagai program atau projek yang disediakan dan dipromosikan oleh kerajaan untuk pembangunan tanah NCR.
Dialog ini juga bertujuan untuk menjalin hubungan rapat dan membentuk jaringan kerjasama dengan kementerian serta jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan.
Manakala, dialog lapangan merupakan susulan kepada dialog umum untuk mendapatkan verifikasi dari pemilik tanah sendiri berkenaan permohonan membangunkan tanah NCR selain untuk memastikan tiada muslihat atau tipu helah di sebalik permohonan yang telah dihantar kepada pihak MANRED.

Hal ini kerana, banyak isu-isu yang telah timbul sebelum ini seperti kawasan pembangunan tanah NCR yang telah diluluskan tanpa pengetahuan pemilik-pemilik tanah sedangkan semua urusan membangunkan kawasan tanah NCR seharusnya mendapat persetujuan daripada pemilik tanah.
Sesi dialog turut melibatkan pihak dari Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk menerangkan kepada komuniti tentang tatacara permohonan lesen pembalakan kerana banyak lesen-lesen atau aktiviti pembalakan haram berlaku sebelum ini.
Dengan cara ini, aktiviti pembalakan haram sudah dapat dikawal setelah adanya kesedaran di kalangan orang kampung apabila mereka tidak lagi membenarkan sesiapa sahaja untuk datang menebang kayu-kayu balak di tanah mereka yang telah diukur.
Pada dasarnya, program dialog yang dianjurkan ini adalah kesinambungan daripada program pembangunan tanah NCR Sarawak dan Sabah yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.

Pada tahun 2010, Kerajaan telah mula melaksanakan program pengukuran tanah NCR di bawah Seksyen 6 kerana mahu agar tanah-tanah yang telah diukur itu produktif kepada orang-orang kampung terutama pemilik tanah.
Menurut Encik Sirai Daha, dari segi pembangunan terancang, Sarawak masih mempunyai lebih 60,000 hektar tanah NCR yang belum dibangunkan dan ia akan dibangunkan secara mampan.
Langkah ini adalah bagi memastikan pemilik tanah mendapat hasil daripada tanah yang dibangunkan sekali gus untuk mengelakkan mereka kehilangan hak atas tanah sendiri dan sebagainya.
Sekiranya tanah itu tidak dibangunkan, pemilik tanah yang kurang sumber pendapatan cenderung untuk menjual tanah-tanah mereka yang sepatutnya diwarisi anak-anak dan cucu-cucu mereka.

Dalam pada itu beliau memberitahu, setakat ini lebih kurang 204,781 hektar tanah NCR telah dibangunkan melibatkan 73,659 orang peserta.
Sebanyak 221 buah projek perladangan menggunakan tanah NCR telah dilaksanakan melalui:
- Model Usaha sama (JV) oleh LCDA melibatkan 49 buah projek (± 91,404 Ha)
- Model Pengurusan Projek oleh SALCRA melibatkan 22 buah projek (± 72,178 Ha)
- Model Pengurusan Projek oleh FELCRA melibatkan 129 buah projek (± 33,038 Ha)
- Model Pengurusan Projek oleh SLDB melibatkan 6 buah projek (± 1,315 Ha)
- Model Sewaan (Leasing Model) oleh Syarikat Pelabur melibatkan 15 buah projek (± 6,846 Ha)
Dari tahun 2018 hingga 2020, Kementerian melalui Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah menyerahkan sejumlah 1,864 surat hak milik tanah kepada 1,656 peserta SALCRA merangkumi kawasan seluas 2,972 hektar.
Pada masa yang sama, sejumlah 2,596 lot tanah melibatkan kawasan seluas 4,006 hektar telah diukur bagi tujuan yang sama.
Ini adalah sejajar dengan peruntukan yang termaktub di dalam Ordinan SALCRA 1976 untuk memberikan perlindungan kepada hak milik setiap peserta terhadap tanah NCR mereka yang telah dibangunkan oleh SALCRA.

