Bahagian 2
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMS) mendaya upayakan masyarakat dan mengamalkan kesamarataan melalui perkhidmatan kebajikan yang lestari yang melibatkan kumpulan sasar yang JKMS telah kenal pasti iaitu Kanak-Kanak; Warga Emas; Orang Kurang Upaya (OKU); Keluarga; Gelandangan; Mangsa Bencana; Mangsa Keganasan Rumah Tangga; Pesalah Muda; Komuniti Rentan; dan Mangsa Pemerdagangan Orang.bagi memastikan setiap individu mendapat sokongan yang diperlukan tanpa mengira latar belakang.
Kumpulan Sasar JKMS : Keluarga
JKMS turut memberikan sokongan kepada keluarga yang memerlukan bantuan ekonomi, terutama keluarga yang mempunyai ramai anak dan pendapatan bulanan yang agak terhad, contohnya kurang daripada RM1,000 sebulan.
Sebagai contoh, JKMS menyediakan Bantuan Kanak-Kanak untuk pendidikan, yang memberikan mereka bantuan sebanyak RM200 setiap bulan, bagi meringankan beban kos persekolahan.
Jika keluarga tersebut berminat untuk memulakan perniagaan, JKMS juga menawarkan bantuan kewangan melalui skim “Launching Geran” yang bernilai RM5,000 untuk membeli peralatan yang diperlukan dalam menjalankan perniagaan.
Setelah itu, JKMS tidak hanya melepaskan mereka begitu sahaja, tetapi akan terus memantau perkembangan mereka selama dua tahun.
Pihak JKMS akan memberikan sokongan dalam pengurusan kewangan dan akaun, serta menggalakkan mereka untuk menyertai pelbagai karnival sebagai pendedahan dan menambah pengalaman mereka dalam perniagaan.
Sebagai contoh, baru-baru ini, pihak JKMS telah membawa beberapa orang peserta ke Kuala Lumpur untuk menghadiri program Lan Berambeh.
Pendedahan ini berlangsung selama dua tahun, dan selepas tempoh tersebut, pihak JKMS akan memberi peluang kepada mereka untuk berdikari dan menguruskan perniagaan mereka sendiri.
Dari 100 orang yang telah menyertai program ini, pihak JKMS boleh berbangga mengatakan bahawa sekitar 20% peserta telah berjaya.
Antara kejayaan yang paling membanggakan tahun 2024 ialah seorang usahawan dari Bau yang menjalankan perniagaan restoran, dengan pendapatan bulanan yang kini mencecah lebih RM30,000.
Selain itu, ramai juga usahawan dalam bidang kraf tangan yang telah mencatatkan kejayaan yang luar biasa.
Proses ini berjalan berterusan, dengan JKMS mengadakan mesyuarat pemantauan tiga kali setahun bagi menilai perkembangan mereka.
Bagi mereka yang menunjukkan tiada peningkatan dalam tempoh dua tahun, malangnya, pihak JKMS tidak dapat memberikan sokongan lanjut.
Namun begitu, bagi mereka yang masih menunjukkan usaha yang gigih dan potensi walaupun selepas dua tahun, pihak JKMS akan memberi tempoh tambahan selama dua tahun lagi untuk membantu mereka mencapai kejayaan.
Kumpulan Sasar JKMS : Gelandangan
Di bandar raya Kuching, terdapat segelintir individu yang dilihat menjual tisu di depan bank, namun mereka sebenarnya bukanlah peminta sedekah, sebaliknya golongan gelandangan yang menerima bantuan daripada JKMS.

Kebiasaannya, mereka menjual tisu sebagai pendapatan sampingan, selain bantuan kewangan yang diterima daripada pihak JKMS.
Disebabkan keadaannya yang tidak membenarkan beliau bekerja sepenuhnya, menjual tisu adalah kerja sambilan yang dilakukan.
Pernah suatu ketika semasa berjalan-jalan di tebingan Kuching, beliau sempat bertemu dengan seorang individu yang memakai kostum maskot Mickey Mouse.
Setelah beliau menemu bual individu tersebut, ternyata individu tersebut merupakan salah seorang penerima bantuan JKMS yang menghidap penyakit jantung, dan mempunyai kad pengesahan kesihatan yang membolehkannya menerima bantuan tersebut.
Individu ini adalah orang dewasa yang berusaha mencari pendapatan tambahan dan turut mempunyai lesen sah daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Selain itu, dalam operasi menyelamat yang dijalankan, JKMS akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan, terutamanya dalam kes-kes yang melibatkan penyalahgunaan dadah.
Sekiranya terdapat penemuan dadah atau jarum semasa operasi, kes tersebut akan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
Kumpulan Sasar JKMS : Mangsa Bencana
Bagi mangsa bencana, apabila bencana berlaku, keutamaan JKMS adalah untuk tiba di lokasi bencana dalam masa kurang daripada enam jam, terutamanya di kawasan-kawasan berdekatan.
Pihak pertama yang tiba di tempat kejadian adalah bomba, sementara JKMS merupakan pasukan kedua yang perlu berada di lokasi tersebut.
Sebagai sebahagian daripada pasukan, pihak JKMS akan datang bersama pegawai kaunseling yang terlatih untuk menenangkan mangsa serta pekerja sosial yang akan menemu bual mereka dan mengedarkan makanan serta keperluan lain.
Kerajaan Sarawak telah meluluskan tambahan bantuan untuk mangsa-mangsa bencana. Sebagai contoh, bagi kebakaran rumah panjang, bantuan bahan binaan yang diberikan sebelum ini berjumlah RM5,000 untuk setiap rumah.
Namun, dengan kelulusan terkini, bantuan untuk membeli bahan binaan telah dinaikkan kepada RM10,000, bermula Januari 2025.
Bagi bencana yang disebabkan oleh ribut atau taufan, jumlah bantuan akan ditentukan berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh pihak bomba.
Kumpulan Sasar JKMS : Komuniti Rentan
Komuniti rentan merujuk kepada individu atau kelompok yang berada dalam keadaan sangat rapuh dan mudah terkesan oleh perubahan keadaan hidup.
Sebagai contoh, sebuah kisah yang berlaku beberapa bulan lepas melibatkan seorang lelaki berusia 58 tahun.

Sepanjang hidupnya, dia telah mengorbankan banyak masa untuk menjaga ibu, adik-beradik, dan bapanya yang sakit.
Sejak kecil lagi, keluarganya berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan ketika dia berusia 55 tahun, bapanya meninggal dunia setelah bertahun-tahun menderita.
Bapanya telah menerima bantuan RM500 sebulan, tetapi dia sering kali tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.
Kadang-kadang, dia hanya bergantung kepada sumbangan RM50 sebulan daripada orang ramai dan makan di rumah saudara-mara.
Selama bertahun-tahun, dia tidak dapat bekerja kerana tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan ibu dan bapanya.
Pada usia yang semakin lanjut, peluang untuk bekerja seperti nelayan atau tukang rumah sudah terlewat.
Menyedari kesulitan yang dihadapinya, JKMS menyediakan bantuan sebanyak RM200 sebulan untuk membantunya meneruskan kehidupan di kampung, sementara dia tinggal di rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin).
Satu lagi contoh komuniti rentan melibatkan seorang wanita yang kehilangan suami akibat kejadian bot karam di mana sebelum kejadian tersebut, kehidupan keluarganya bergantung sepenuhnya pada pendapatan suaminya.
Dengan kematian suami, beliau tiba-tiba kehilangan sumber pendapatan utama dan kehidupan mereka menjadi sangat rapuh.
Menyedari kesulitan ini, Kerajaan Sarawak turut tampil membantu disebabkan isteri kepada mangsa bot karam ini tidak bekerja dan mempunyai anak berusia enam bulan.
Sebagai sokongan, kerajaan menyediakan bantuan kanak-kanak sebanyak RM250 sebulan sehingga anak tersebut berumur 18 tahun dan selepas itu, Yayasan Sarawak akan terus memberikan bantuan.
Selain itu, isteri mangsa bot karam tersebut turut menerima bantuan am bulanan sekitar RM400 hingga RM500 untuk memastikan kehidupan mereka tidak terjejas.
Ini hanyalah dua contoh daripada banyak lagi kes yang melibatkan kumpulan rentan yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Kerajaan dan agensi kebajikan bekerja keras untuk memastikan komuniti yang terpinggir ini terus mendapat bantuan agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Kumpulan Sasar JKMS : Mangsa Pemerdagangan Orang
Mangsa pemerdagangan orang sering kali memerlukan perhatian segera dan penuh keprihatinan justeru, apabila kes ini berlaku di Sarawak, peranan utama JKMS adalah untuk mengambil biodata mangsa dan menyediakan laporan yang diperlukan.
Disebabkan kekurangan kemudahan di Sarawak untuk menempatkan mangsa pemerdagangan orang, langkah seterusnya adalah menghantar mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kuala Lumpur (KL), di mana kemudahan yang lebih lengkap dan sokongan yang diperlukan dapat disediakan.
Keutamaan JKMS adalah untuk memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin sepanjang proses pemulihan ini.