Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) telah menggariskan beberapa objektif strategik dalam sektor pertanian bagi mencapai matlamat menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan menjelang tahun 2030.
Antara usaha yang dilakukan adalah dengan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran padi daripada 51 peratus kepada 70 peratus dalam tempoh tahun yang disasarkan.
Sebagai bahan asas makanan utama, pengeluaran padi dan beras perlu ditingkatkan bagi menjamin bekalan dan keselamatan makanan.
Menurut Setiausaha Tetap MANRED, Encik Edwin anak Abit dalam sesi temubual bersama RAKAN Sarawak baru-baru ini, sektor pengeluaran padi di Sarawak telah menyumbang sebanyak RM1.23 juta nilai eksport dalam tempoh empat (4) tahun (2016-2019) berbanding dengan sektor-sektor pertanian yang lain.

Menerusi agensi di bawah kementerian, iaitu Jabatan Pertanian Sarawak (DOA), usaha mengeluarkan benih padi MR269 di Bahagian Sri Aman yang telah menghasilkan tuaian sebanyak 100 metrik tan varieti biji padi MR269 di Tanjung Bijat, Stumbin dan Pantu. telah dijalankan pada 2020.
Usaha berkenaan dijalankan melalui kerjasama di antara DOA dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Benih-benih padi berkenaan diedarkan secara percuma kepada petani di pelbagai kawasan penanaman padi seperti di Tg. Purun dalam Bahagian Kuching dan Skuduk-Chupak dalam Bahagian Serian.
Selain itu, kerajaan juga merancang untuk memperkenalkan varieti benih padi MR297 baharu kepada petani di samping melaksanakan program pensijilan benih dan pengukuhan rantaian bekalan melalui penglibatan sektor swasta dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) terpilih.
Imbas kembali, usaha meningkatkan pengeluaran padi pernah dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November 2018.
Sehubungan dengan itu, MANRED menyediakan pelan induk untuk industri padi Sarawak yang akan menjadi arah pembangunan serta mengenal pasti tindakan yang perlu dalam membolehkan negeri ini mencapai sasaran SSL.
Pembangunan padi dalam pelan induk berkenaan melibatkan beberapa buah kawasan, iaitu Kampung Kupang, Jelupang, Kampung Sessang dan Nyiar.
Usaha peningkatan pengeluaran padi juga dilakukan dengan membina dan menaik taraf jalan ladang, perparitan dan tebing ban pada 2020 dengan peruntukan sebanyak RM19.8 juta.
Dalam merealisasikan visi menjadikan Sarawak pengeksport makanan, MANRED turut bertanggungjawab menerajui pembangunan komuniti pertanian dan luar bandar Sarawak dengan membawa misi untuk mentransformasi dan melestari ekonomi pertanian dan pembangunan luar bandar.
Kementerian ini juga mempunyai visi dan aspirasi dalam sektor pertanian yang digerakkan melalui teknologi yang akan memastikan jaminan bekalan dan keselamatan makanan selain meningkatkan pendapatan komuniti asas tani melalui pelbagai program pembangunan dan latihan.

Nilai Eksport Berdasarkan Sektor:


