Tahukah anda ulat mulong kini boleh diternak di dalam besen? Ternakan berkonsepkan ekonomi kitaran ini telah pun diusahakan oleh sekelompok kecil komuniti di Mukah.
Teknik ini menggunakan hampas rumbia sebagai medium utama pembiakan dan makanan ulat mulong, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada habitat liar.
Untuk mengusahakan 100 besen misalnya, 25 kerat batang rumbia diperlukan daripada penduduk kampung yang menjualnya pada harga RM15 sekarat.
Setiap dua batang rumbia mampu menghasilkan sehingga 15kilogram (kg) ulat mulong melalui 50-unit besen, berbanding hanya 2kg melalui kaedah tradisional.
Dengan harga jualan ulat mulong sekitar RM60 sekilo, perusahaan ini membuktikan potensi keuntungan yang signifikan bagi komuniti tempatan.
Lebih daripada itu, ia membuktikan keberkesanan inovasi serta membuka peluang besar bagi menjadikan penternakan ulat mulong sebagai industri baharu yang menjanjikan keuntungan dan pada masa yang sama menjunjung konsep kelestarian alam.



