Di seluruh Malaysia, gelombang baharu sedang mengubah wajah ekonomi negara iaitu gelombang yang digerakkan oleh belia yang semakin berani meneroka kerjaya di luar ruang tradisional.
Dalam dunia di mana kadar pengangguran belia (15–24 tahun) masih kekal tinggi sekitar 10.2% walaupun kadar pengangguran nasional berada pada paras paling rendah iaitu 3.0% (Mei 2025), golongan muda memilih untuk tidak menunggu peluang, sebaliknya mencipta peluang mereka sendiri.
Data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada September 2025 menunjukkan bahawa belia (15–30 tahun) pula merekodkan kadar pengangguran 6.2%, menggambarkan betapa mencabarnya pasaran kerja untuk generasi muda.

Namun, di sebalik statistik yang agak membimbangkan ini, muncul satu realiti yang lebih besar di mana belia Malaysia sedang menjadi penggerak ekonomi baharu melalui” bekerja sendiri” atau bekerja sendiri, keusahawanan, perkhidmatan digital dan pertanian moden.
Pada 2022, sebanyak 71,112 perusahaan milik belia berjaya menyumbang RM80.7 bilion kepada ekonomi negara.

Walaupun hanya 6.5% daripada keseluruhan syarikat, angka ini memaparkan keberanian baharu dalam kalangan generasi muda yang tidak lagi melihat diri mereka sebagai pelapis, tetapi sebagai pemacu.
Di Sarawak, gambaran ini jelas terserlah apabila kadar pengangguran negeri sekitar 3.4% (2023), sementara belia muncul sebagai pemacu utama keusahawanan kecil, pertanian moden, dan industri makanan.

Keadaan ekonomi yang stabil memberi ruang kepada mereka untuk mencuba, meneroka dan memperkukuh kedudukan dalam ekosistem keusahawanan negeri.
Di sebalik angka-angka ini, tersimpan kisah-kisah kehidupan yang jauh lebih mengesankan, antaranya Encik Mohammad Zakaria bin Jamsari, pengasas syarikat Quemushroom yang pernah ditemu bual RAKAN Sarawak.
Berbekalkan hanya 10 bongkah cendawan tiram dan ilmu yang dipelajarinya melalui internet, beliau telah memulakan langkah kecil yang akhirnya berkembang menjadi perniagaan yang membekalkan cendawan ke Kuching, Miri, Bintulu dan Mukah.
Ketika berdepan lambakan hasil tuaian, beliau tidak menyerah, sebaliknya mencipta produk baharu seperti Cendawan Goreng Crispy, Pekasam Cendawan dan Pekasam Kuping yang kini menembusi pasaran sehingga ke Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Singapura.
Beliau merupakan bukti bahawa minat, kreativiti dan keberanian mencuba idea baharu mampu menjana pendapatan stabil malah melebihi RM5,000 sebulan.
Lebih penting lagi, kisahnya mempamerkan bagaimana belia yang bekerja sendiri bukan hanya membina kerjaya peribadi, tetapi turut menggerakkan ekonomi dan memberi inspirasi kepada komuniti sekeliling.
Kisah inspirasi lain terpancar dalam perniagaan burger tempatan Sarawak melalui jenama BurgerDotcom yang diasaskan oleh Mohamad Sharizal, dari Lutong, Miri.
Ketika ditemui semasa Sarawak Kitchen 2022 bersempena Regata Sarawak, Sharizal berkongsi bagaimana penyertaannya dalam festival itu membuka ruang baharu untuk memperkenalkan BurgerDotcom kepada pelanggan di Kuching selepas membuka cawangan di Best Time Café.
Beliau terpilih daripada lebih 100 pemohon, dan hanya 32 usahawan berjaya mendapat tempat, menandakan suatu pengiktirafan buat usaha gigihnya.
Sejak memulakan perniagaan pada tahun 2005, Sharizal telah mengendalikan tiga cawangan iaitu di Lutong, nasrCafe Miri dan Best Time Café Kuching, dengan setiap cawangan beroperasi dari petang sehingga lewat malam.
Pada bulan Ramadan pula, tenaga dan kreativiti beliau benar-benar membuahkan hasil apabila gerainya mampu meraih RM3,000 hingga RM4,000 sehari sebelum waktu berbuka.
Lebih mengagumkan, ketika ramai peniaga kecil-kecilan terjejas semasa pandemik Covid-19, Sharizal terus mengemudi perniagaannya tanpa henti melalui strategi digital dengan mempromosikan produknya melalui Facebook serta menggunakan Foodpanda dan GrabFood untuk penghantaran.
Setakat 2022, BurgerDotcom telah mempunyai 12 pekerja tetap, dengan pendapatan harian antara RM1,800 hingga RM2,000, sekaligus membuktikan suatu pencapaian luar jangka bagi perniagaan yang bermula di sebuah gerai kecil di Lutong.
Kisah Quemushroom dan BurgerDotcom membuktikan satu perkara penting iaitu minat yang digabungkan dengan keberanian, kreativiti dan ketekunan mampu membawa belia ke tahap yang luar biasa.
Walaupun bekerja sendiri menawarkan kebebasan masa, kawalan kerja dan kepuasan mencipta hasil sendiri, ia juga datang dengan cabaran iaitu dari segi keperluan menyediakan modal, risiko pendapatan tidak menentu, keperluan berfikir strategik serta tekanan persaingan pasaran.
Namun, belia masa kini hadir dengan mentaliti baharu iaitu, ‘kerja lebih, dapat lebih,’ menjadikan bekerja sendiri bukan sekadar pilihan, tetapi alternatif yang realistik dan berdaya tahan dalam menghadapi tekanan pasaran kerja semasa.
Ramai belia memilih pekerjaan bebas seperti penolong digital, reka bentuk grafik, jualan e-dagang, konsultasi media sosial, fotografi, perkhidmatan tutor dan pertanian moden.
Hal ini semuanya kerana ia menawarkan ruang untuk berkembang tanpa kekangan masa, hierarki atau budaya kerja korporat yang menekan.
Dalam situasi ini, hanya pengalaman dan strategi yang terancang akan dapat membantu belia mengatasi cabaran secara sistematik.
Latihan digital, pengurusan modal, pembangunan komuniti mentor, akses kepada teknologi pemasaran dan pembiayaan mikro menjadi antara formula yang terbukti berkesan.
Contohnya, kejayaan Quemushroom banyak dipacu oleh penggunaan platform digital untuk memasarkan produk ke seluruh Malaysia.
Begitu juga BurgerDotcom yang memanfaatkan aplikasi penghantaran makanan semasa pandemik untuk kekal bertahan.
Kesimpulannya, apabila belia diberikan ruang, sokongan dan kepercayaan, mereka mampu menunjukkan impak yang jauh lebih besar daripada yang dijangka.
Mereka bukan sahaja mencipta kerjaya yang berdaya saing, malah membuka peluang pekerjaan, mengurangkan kadar pengangguran, mempelbagaikan ekonomi, menyuburkan inovasi dan membina komuniti yang lebih dinamik.
Justeru, “Belia Memacu Perubahan Menggerakkan Komuniti dan Ekonomi” bukan sekadar retorik, kerana ia sedang berlaku sekarang melalui usaha Zakaria daripada Quemushroom, Sharizal daripada BurgerDotcom dan ribuan usahawan muda lain yang gigih membina masa depan mereka sendiri
Belia bukan lagi sekadar pewaris masa depan, tetapi pemacu utama masa kini, dan setiap langkah kecil mereka sedang membuka jalan kepada komuniti Malaysia yang lebih berdaya tahan, kreatif dan inklusif.

Rujukan:
- Pertubuhan milikan belia menjana RM80.7 bilion dalam output kasar merentasi 71.1 ribu pertubuhan pada tahun 2022
- Kadar pengangguran belia berumur 15–24 tahun ialah 10.2% (data sehingga Julai 2025).
- Kadar pengangguran belia berumur 15–30 tahun ialah 6.2% pada September 2025.
- Anggaran penduduk pertengahan tahun (mid-year) Sarawak untuk 2025 sebanyak 7.41 juta orang. https://storage.dosm.gov.my/demography/population_2025.pdf
- Dalam struktur umur Sarawak, kumpulan umur 15–64 (golongan bekerja / produktif) adalah sekitar 71.0%. https://storage.dosm.gov.my/demography/population_2025.pdf
- Anggaran populasi Sarawak (termasuk belia). https://open.dosm.gov.my/dashboard/population
- Kerajaan Sarawak melaksanakan Sarawak Youth Index Study 2.0 untuk menilai kesejahteraan belia. https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/14749/UKAS
- Tvs. (2025, September 13). Indeks belia Sarawak catat skor tinggi. https://www.tvsarawak.my/2025/09/13/indeks-belia-sarawak-catat-skor-tinggi/
- Indeks Belia Malaysia (Malaysian Youth Index) https://www.iyres.gov.my/images/penerbitan/Facts%20&%20Figures%20Indeks%20Belia%20Malaysia%202023.pdf
- Perangkaan demografi Malaysia Q1 2025: “working age population” (15-64 tahun) ialah 70.1% daripada populasi keseluruhan.

