Di kawasan Puncak Borneo, Kampung Bawang menyerlah sebagai sebuah komuniti yang proaktif menangani isu sosial remaja menerusi usaha dan inisiatif yang lahir daripada akar umbinya sendiri.
Melalui penganjuran program sukan komuniti, kampung ini membuktikan bahawa pendekatan berasaskan komuniti mampu memberi kesan positif dalam membentuk jati diri belia, menggalakkan penglibatan aktif, dan mengurangkan kecenderungan terhadap aktiviti tidak sihat.
Menurut Ketua Kampung (KK) Bawang, Encik Jirum Anak Ross yang ditemu bual oleh RAKAN Sarawak secara dalam talian menerusi aplikasi whatsapp, kebanyakan remaja di Kampung Bawang masih kurang memahami peranan dan kepentingan mereka dalam usaha membangunkan komuniti.
Ketiadaan hala tuju yang jelas menyebabkan ramai daripada mereka lebih cenderung menghabiskan masa dengan kegiatan tidak sihat yang boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan dan masa depan mereka.
Situasi ini turut dikongsikan oleh ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Encik Geoffrey Sinong, yang melihat gejala pengambilan alkohol sebagai salah satu cabaran sosial paling membimbangkan dalam kalangan remaja, terutamanya semasa hujung minggu dan musim cuti.
Menyedari ancaman ini, Kelab Belia Kampung Bawang (KBKB) tampil dengan penyelesaian yang sederhana tetapi berkesan melalui penganjuran program sukan komuniti.
Program ini bukan sekadar mengisi masa lapang, malah ia menjadi ruang untuk membina jati diri, memupuk semangat kesukarelawanan dan melahirkan generasi muda yang lebih bertanggungjawab serta berdaya saing.
Aktiviti seperti futsal, badminton dan Taekwon Do telah mula diperkenalkan dalam kalangan remaja di kampung ini.
Malah, sambutan terhadap program ini juga amat menggalakkan kerana ia memberi peluang kepada remaja untuk menyertai sesuatu yang bermanfaat sambil mengeratkan hubungan antara sesama mereka.
KK Jirum menyatakan bahawa, aktiviti ini turut menyemai nilai-nilai kerja berkumpulan, semangat gotong-royong dan tanggungjawab sosial yang semakin terhakis dalam kalangan belia luar bandar.

Encik Geoffrey pula berpandangan bahawa, walaupun kemudahan sukan di kampung masih serba kekurangan, kerjasama yang diberikan oleh komuniti untuk menjayakan program-program sukan amat membanggakan.
Ia memberi isyarat jelas bahawa masyarakat setempat turut memandang serius usaha memperkukuh kesejahteraan sosial belia mereka.
Secara dasarnya, usaha menganjurkan program sukan komuniti di Kampung Bawang bukanlah tanpa cabaran, kerana menurut Pengerusi KBKB, Encik Mackeyson Wayes, kekurangan dana, sumber logistik serta kemudahan seperti gelanggang futsal yang tidak lengkap dan peralatan sukan yang terhad merupakan antara halangan utama yang sering dihadapi.
Di samping itu, cabaran turut datang daripada aspek penglibatan kerana ramai belia mempunyai komitmen kerja atau berada di luar kampung, menyebabkan pihak mereka sukar mengumpulkan peserta secara konsisten.
Namun demikian, semangat sukarelawan menjadi nadi yang menggerakkan usaha ini, apabila hampir seluruh urusan penganjuran bermula daripada perancangan hingga pelaksanaan dilaksanakan secara sukarela oleh ahli kelab dan komuniti.
Beliau percaya bahawa program ini masih boleh diperkasa jika mendapat sokongan kewangan yang konsisten sama ada daripada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sektor swasta.
Latihan dan bengkel pengurusan acara juga dilihat sebagai keperluan penting bagi meningkatkan kecekapan organisasi dan penganjuran sesuatu program di kampung ini.
Setiausaha KBKB, Cik Juliana Tree pula menekankan bahawa idea penganjuran program sukan ini sebenarnya lahir daripada hasrat untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan sesama penduduk kampung.
Jelas beliau, selepas kejayaan penganjuran pertama sukan komuniti iaitu Kejohanan Futsal Tertutup Piala Gawai Kampung Bawang, permintaan untuk lebih banyak aktiviti sukan daripada kalangan belia semakin meningkat.

Antara objektif utama program sukan ini ialah untuk mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah, memupuk nilai kepimpinan serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan penggerak program.
KBKB juga memberi tumpuan kepada struktur organisasi yang teratur, di mana setiap ahli jawatankuasa diberikan tugasan khusus bagi memastikan kelancaran perjalanan program tanpa membebankan individu tertentu.
Pelbagai aktiviti dirancang dengan teliti seperti pertandingan futsal dan badminton, sukaneka serta gerai jualan makanan dan barangan.

Segala urusan program dijayakan melalui kerjasama erat antara AJK KBKB, jawatankuasa program dan para sukarelawan yang bersemangat tinggi, dengan sokongan padu daripada JKKK yang menjadi tulang belakang kelancaran pelaksanaannya.
Dana dan kemudahan yang disalurkan oleh JKKK diberikan atas dasar perancangan yang sistematik, lengkap dengan dokumen sokongan sebagai bukti ketelusan dan pengurusan yang bertanggungjawab.
Tambah beliau, untuk menarik lebih ramai penyertaan belia, pihak penganjur menggunakan pelbagai pendekatan kreatif.
Antara strategi yang digunakan termasuk penyediaan hadiah menarik, penganjuran aktiviti sampingan seperti jualan makanan dan barangan, serta galakan daripada keluarga dan penduduk kampung agar menyokong usaha belia.

Belia juga diberi peranan penting dalam pengurusan program, yang secara tidak langsung meningkatkan semangat kepimpinan, rasa tanggungjawab dan kesedaran sivik dalam kalangan mereka.
Baik daripada sudut pandang pemimpin kampung mahupun penggerak belia, semuanya sepakat bahawa belia merupakan aset paling penting dalam pembangunan masa depan komuniti.
Encik Geoffrey berharap agar belia Kampung Bawang tidak leka dengan kesenangan sedia ada, sebaliknya berusaha menjadi individu yang berwawasan dan berperanan membangun masyarakat.
Encik Mackeyson pula mahu melihat lebih ramai belia Kampung Bawang tampil sebagai pemimpin muda yang berani mengambil tanggungjawab.
Beliau juga menyuarakan hasrat untuk meluaskan program sukan komuniti ini ke kampung lain serta menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan dan NGO bagi memberi lebih impak kepada pembangunan belia luar bandar.

Kesimpulannya, Kampung Bawang membuktikan bahawa penyelesaian kepada isu sosial remaja boleh dicetuskan dari peringkat komuniti, tanpa menunggu campur tangan luar.
Melalui sukan komuniti, bukan sahaja semangat kesukanan dibina, malah keyakinan, kepimpinan dan kesedaran sosial dalam kalangan belia juga berkembang pesat.
Model Kampung Bawang ini wajar dicontohi oleh komuniti luar bandar lain di seluruh Sarawak sebagai bukti bahawa gelanggang kecil di hujung kampung mampu melahirkan perubahan besar untuk generasi masa depan.


