Industri makanan tempatan kini menyaksikan lonjakan baharu apabila semakin ramai usahawan tampil mengetengahkan produk berasaskan resipi tradisi dengan pendekatan yang lebih moden, sihat dan berdaya saing.
Di Sarawak, jenama seperti Indah Foods menjadi contoh jelas bagaimana kreativiti, penggunaan bahan premium tempatan serta strategi pemasaran yang tersusun mampu mengangkat produk kampung hingga menembusi pasaran antarabangsa.
Bermula sebagai sebuah kafe galeri seni yang mempromosikan karya artis dan artisan Sarawak, Indah House Kuching mengembangkan sayapnya ke bidang pembuatan makanan pada tahun 2019 melalui penubuhan jenama Indah Foods.
Langkah ini disusuli penghasilan rangkaian sambal tradisi yang ditambah baik dari segi kualiti bahan serta proses penyediaan.
Lima variasi sambal iaitu Sambal Kantan, Sambal Serai, Sambal Tomato, Sambal Geprek dan Sambal Pusuk menjadi tunjang utama mereka.
Kesemua produk ini mengekalkan keaslian citarasa Sarawak namun diformulasikan selaras dengan keperluan pengguna moden.
Keunikan Indah Foods terletak pada prinsip “clean label”, iaitu produk bebas Monosodium Glutamat (MSG), bebas bahan pengawet dan bebas gula proses.
Sebaliknya, mereka menggunakan gula apong asli, manisan warisan Sarawak yang semakin mendapat pengiktirafan kerana rasanya yang unik serta kandungan nutrisinya.
Bekalan gula apong diperoleh daripada seorang usahawan wanita di Kampung Tambirat, sebuah kerjasama yang bermula sejak 2019.
Pemilihan pembekal dilakukan melalui pencarian teliti ke beberapa lokasi termasuk Pusa, namun Tambirat dipilih kerana kualiti gula apongnya yang tulen serta kedudukannya yang lebih dekat dari sudut logistik.
Hubungan rantaian bekalan ini bukan sahaja memastikan konsistensi produk, malah memberi impak ekonomi langsung kepada komuniti kampung.
Menariknya, salah satu produk dari rangkaian sambal Indah Foods iaitu Sambal Tomato dihasilkan tanpa gula proses dan diformulasi bersama seorang doktor dari Hospital Umum Sarawak bagi memenuhi keperluan pesakit diabetes yang ingin menikmati sambal tanpa menjejaskan kesihatan.
Usaha ini membuktikan bahawa industri makanan tempatan mampu berinovasi dengan menggabungkan ilmu nutrisi, penyelidikan dan pemahaman terhadap keperluan pengguna.
Selain sambal, Indah Foods turut menghasilkan Gula Apong Tempe dan Gula Apong Granola iaitu dua snek sihat yang kini menjadi pilihan utama pelanggan.
Penghasilan kedua-dua produk ini seiring dengan trend pemakanan sihat dan membuktikan bahawa syarikat tempatan Sarawak berupaya berinovasi serta memenuhi permintaan pasaran moden tanpa mengabaikan identiti tradisi.
Kesemua produk keluaran Indah Foods pada asalnya merupakan menu harian di Indah Cafe di Upper China Street dan Think&Tink Tabuan sebelum dipakejkan secara komersial akibat permintaan yang meningkat.
Transformasi ini menunjukkan bagaimana inovasi makanan mampu berkembang daripada hidangan kafe kepada produk eksport melalui pemerhatian trend serta respons pelanggan.
Menurut wakil pemasaran Indah Foods, Nurzuliana, tiga (3) produk paling laris ialah Sambal Kantan, Sambal Geprek dan Gula Apong Tempe.

Produk-produk ini sering menjadi tumpuan di ekspo dan pameran, malah menjadi pilihan utama pelancong luar negara.
Pembeli dari United Kingdom, misalnya, sering membawa pulang sambal Sarawak sebagai cenderahati unik dan ini terbukti mampu memperlihatkan potensi besar produk tempatan di pasaran global.
Penyertaan aktif Indah Foods dalam pelbagai acara anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Federal Agricultural Marketing Authority atau FAMA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta penganjur komersial turut memperkukuh kedudukan jenama ini.
Mereka telah menyertai ekspo di Singapura, Kuala Lumpur, Selangor dan beberapa lokasi lain di Semenanjung.

Acara sebegini berfungsi sebagai pintu masuk produk tempatan ke pasaran lebih besar, di samping memperkenalkan jenama kepada pelawat luar, pelancong dan pembeli profesional.
Selain membuka akses kepada pasaran baharu, program seperti ini juga meningkatkan keyakinan pengguna kerana pelanggan dapat merasai sampel, menilai pembungkusan dan berinteraksi terus dengan pengusaha.
Dalam masa yang sama, ia mewujudkan ruang jaringan perniagaan antara usahawan, pembekal, pemborong, wakil pasar raya, pengimport serta agensi kerajaan yang membolehkan rangkaian tersebut menjadi pemangkin perluasan pasaran.
Penganjuran acara turut menawarkan ruang maklum balas segera, membolehkan usahawan menambah baik rasa, tekstur, pembungkusan dan strategi pemasaran berdasarkan reaksi pelanggan.
Bagi Indah Foods, pertumbuhan jenama ini juga membawa kesan berganda kepada rantaian pembekal kampung seperti pembekal gula apong Tambirat yang kini menerima permintaan lebih stabil dan berterusan.
Inisiatif Indah Foods selari dengan misi mereka untuk memperkasakan wanita di Sarawak, khususnya dari komuniti B40, agar berupaya berdikari dari sudut kewangan serta menjadi agen perubahan positif dalam komuniti masing-masing melalui peluang pekerjaan dalam bidang hospitaliti, makanan dan minuman.
Penyertaan mereka dalam ekspo luar negara pula membuka laluan kukuh ke arah eksport.
Permintaan antarabangsa mendorong penambahbaikan pembungkusan daripada bentuk asas kepada rekaan yang lebih profesional dan memenuhi piawaian global.
Ini menunjukkan bahawa kecemerlangan produk bukan sahaja bergantung pada resipi, tetapi turut merangkumi aspek pembungkusan, pemasaran, pematuhan standard keselamatan makanan dan keterlihatan aktif dalam platform promosi rasmi.
Kejayaan Indah Foods membuktikan bahawa produk berasaskan resipi tradisi mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan dan dipasarkan hingga ke luar negara.
Dengan sokongan platform strategik seperti acara anjuran FAMA, MATRADE serta kerjasama industri, usahawan tempatan dapat memperluas capaian pasaran, meningkatkan jenama dan memperkasa ekonomi komuniti.
Indah Foods bukan sekadar jenama makanan namun ia adalah simbol evolusi industri kulinari Sarawak, yang menggabungkan tradisi, inovasi dan keberanian untuk melangkah ke pentas dunia.
Melalui produk berkualiti, rantaian bekalan kampung yang diberdayakan serta penyertaan konsisten dalam program keusahawanan, Indah Foods menjadi antara bukti terbaik bahawa produk tempatan mampu menjadi kebanggaan global.
Rujukan :
Laman Sesawang Indah House Kuching. (2023). About Us | Indah House Cafe. Indah House Cafe. https://indahgoesdigital.wixsite.com/mysite/about-2-1
Laman Sesawang Indah House Kuching. (2025). Indah House Kuching. Storehub.me. https://indahhousekuching.storehub.me/

