Menyorot ketidaktentuan dasar perdagangan dunia, konflik geopolitik dan perkembangan teknologi disruptif, ekonomi negara perlu berdaya tahan dan bergerak seiring perubahan dunia.
Aspirasi menuju negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) diangkat sebagai agenda utama RMKe-13 melalui pengembangan industri berasaskan teknologi dan sektor strategik yang komprehensif.
Oleh hal yang demikian, rakyat boleh menjangkakan pembangunan nasional untuk lima (5) tahun akan datang diterajui oleh peralihan teknologi termaju dan pendigitalan yang menyeluruh.
Inti pati RMKe-13 turut menekankan aspek kesejahteraan hidup rakyat dan pengukuhan tatakelola yang baik dalam usaha memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Mengangkat tema ‘Melakar Semula Pembangunan,’ wadah RMKe-13 dijajarkan dengan tiga (3) teras kerangka Ekonomi MADANI, iaitu Menaikkan Siling, Menaikkan Lantai dan Memperkukuh Tatakelola Baik yang turut menggariskan sembilan (9) bidang tumpuan seperti berikut:
- Menuju Negara Berteraskan Kecerdasan Buatan (AI)
- Melonjakkan Pertumbuhan Industri HGHV dan Sektor Strategik
- Menyeimbangkan Kemajuan Ekonomi antara Wilayah dan Mengukuhkan Pembangunan
- Memperhebat Penglibatan dan Peranan Malaysia di Persada Ekonomi Dunia;
- Memastikan Perkhidmatan Telus, Tangkas dan Tuntas;
- Menangani Beban Kos Sara Hidup;
- Merekayasa Sistem Sosial Berteraskan Insan MADANI;
- Meningkatkan Mutu Kehidupan Rakyat; dan
- Mencapai Keadilan Sosial dan Kesaksamaan Peluang.
Teras Menaikkan Siling memberi tumpuan kepada membina negara berteraskan AI, melonjakkan industri berasaskan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), mengimbangi kemajuan ekonomi melalui pengukuhan pembangunan luar bandar dan meletakkan Malaysia di persada ekonomi dunia.
Matlamatnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteraskan AI yang terangkum dan mampan, seterusnya mencapai aspirasi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Peralihan ekonomi berasaskan penciptaan nilai yang dipacu oleh AI, teknologi termaju dan digital akan digerakkan melalui inovasi dan penghasilan produk dan perkhidmatan yang membawa slogan ‘Made by Malaysia’.
Usaha ini membayangkan bahawa rakyat, terutamanya generasi muda bukan sahaja disediakan lebih banyak peluang pekerjaan masa hadapan, tetapi juga turut sama meneraju negara sebagai hab pengeluar teknologi digital serantau.
Untuk menuju negara berteraskan AI, tahap penerima gunaan dan penyelesaian berasaskan AI akan dipertingkatkan ke semua sektor dengan menerapkan inovasi dan teknologi dalam pembangunan aset digital yang strategik.
Langkah tersebut penting untuk dilaksanakan memandangkan tahap penerima gunaan AI dan pendigitalan dalam kalangan rakyat pada masa ini yang masih rendah dan jurang digital yang ketara di antara komuniti bandar dengan luar bandar.
Bakat dan kemahiran AI dan teknologi termaju anak-anak muda diperkasakan di peringkat awal pendidikan dengan memberi penekanan kepada aliran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
Inisiatif tersebut adalah sebagai persediaan dalam penyumberan bakat STEM yang dijalankan dengan kerjasama industri bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang teknologi pada masa akan datang.
Perancangan strategik ke arah negara berteraskan AI diselaraskan dengan pelaksanaan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030, pelaksanaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan program Pembangunan Inovasi Teknologi Angkasa.
Peningkatan darjat kehidupan rakyat adalah satu lagi inti pati penting RMKe-13 yang menyelami kesulitan yang dirasai rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.
Dalam hal ini, usaha menangani beban kos sara hidup yang semakin meningkat diletakkan sebagai keutamaan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat agar mampu mencapai kehidupan wajar.
Strategi mengurangkan perbelanjaan rakyat meliputi aspek keperluan makanan, pendidikan, kesihatan, utiliti, pengangkutan awam dan perumahan.
Pada masa yang sama, langkah untuk meningkatkan pendapatan rakyat dilaksanakan melalui peningkatan gaji dan penyediaan bantuan sosial bersasar juga akan dilaksanakan.
Lain daripada itu, Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Makanan Prasekolah, Bantuan Makanan Asrama, Rancangan Makanan Tambahan selain penyediaan biasiswa pendidikan tinggi dan pembinaan sekolah baharu di kawasan berkepadatan tinggi akan diteruskan.
Inisiatif tersebut akan meningkatkan capaian akses pendidikan berkualiti dalam kalangan masyarakat dan memastikan tiada sesiapa pun yang ketinggalan dalam pendidikan disebabkan kekangan kewangan dan kemiskinan.
RMKe-13 juga menggariskan strategi dalam menangani perubahan iklim dan konflik geopolitik yang menyebabkan berlakunya ketidakstabilan dalam rantaian bekalan makanan global.
Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga bekalan makanan yang akan memberi kesan langsung kepada rakyat dan negara.
Oleh itu, keterjaminan makanan nasional akan diperkukuh, antaranya dengan memperluas inisiatif penawaran bekalan makanan pada harga yang berpatutan.
Usaha mengekang kenaikan kos makanan akan dilaksanakan secara menyeluruh dengan menambah baik infrastruktur, mengukuhkan rantaian bekalan makanan dan sektor peruncitan selain menyediakan platform untuk meningkatkan ketelusan harga.
Penekanan kepada aspek kesejahteraan rakyat turut melibatkan pembentukan sistem sosial yang utuh yang bukan semata-mata tertumpu pada penyediaan akses dan pencapaian berbentuk kebendaan malah juga menekankan aspek rohaniah dan insaniah yang teguh serta ketinggian daya berfikir rakyat.
Bagi memastikan kekayaan negara diagih secara saksama, tatakelola yang baik dan berpaksikan rakyat adalah kunci utama.
Rakyat mendambakan perkhidmatan kerajaan yang cekap, responsif dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Di bawah teras Memperkukuh Tatakelola Baik, tumpuan terarah pada usaha memastikan perkhidmatan yang telus, tangkas dan tuntas melalui pengukuhan integriti dan akauntabiliti.
Integriti dan akauntabiliti yang kukuh merupakan asas kepada peningkatan penyampaian perkhidmatan awam yang seterusnya dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan dan pentadbiran kerajaan.
Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan yang mesra pengguna, pembaharuan perkhidmatan menerusi pemerkasaan GovTech berupaya menyediakan ekosistem kerajaan digital yang bukan hanya menghubungkan kerajaan dengan kerajaan bahkan juga kerajaan dengan rakyat termasuklah komuniti perniagaan.
Pelaksanaan ini akan mewujudkan sistem perkhidmatan digital kerajaan yang menyeluruh, merentasi fasa kehidupan rakyat bermula dari kelahiran sehingga kematian bagi memudah cara urusan rakyat dan komuniti perniagaan sama ada di bandar mahupun di luar bandar.
Secara tuntas, RMKe-13 merupakan wadah yang merencanakan agenda pembangunan negara menuju ekonomi berasaskan penciptaan nilai yang akan diterajui oleh bakat tempatan.
Dalam masa yang sama, strategi yang dirangka turut menggambarkan iltizam dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, mencakupi pelbagai aspek kehidupan.
Melalui pengukuhan tadbir urus yang berpegang pada nilai integriti dan akauntabiliti, segala yang dirancang akan membawa negara mencapai aspirasi maju dan berpendapatan tinggi.

