Penubuhan Stesen Penyelidikan Lapangan Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang bertempat di Semenggok, Kuching adalah bertujuan untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan perladangan bagi meningkatkan aktiviti ujian lapangan tanaman lada.
Selain itu, ia juga akan membangunkan plot-plot ujian ladang bagi menguji keberkesanan hasil Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta menyelenggara koleksi germplasma lada di Malaysia.

Penubuhan stesen penyelidikan lapangan ini adalah selari dengan hala tuju MPB dan industri lada untuk memperkasakan aktiviti R&D melalui kemudahan penyelidikan yang moden dan canggih.
Stesen penyelidikan ini akan menjadi pemangkin kepada aktiviti penyelidikan di lapangan yang membolehkan MPB menjalankan pelbagai jenis R&D berkaitan lada secara sistematik dan pengumpulan germplasma serta varieti bagi penghasilan varieti lada baharu.
Kemudahan-kemudahan yang disediakan di Stesen Penyelidikan Lapangan MPB ini merangkumi empat (4) unit rumah hijau (greenhouse) berkeluasan 168m2 setiap unit yang akan digunakan untuk kajian penyakit dan perosak, kultur tisu, pembiakbakaan dan agronomi lada.

Satu (1) unit bangsal tumbuhan berkeluasan 150m2 akan digunakan untuk menyelenggara koleksi germplasma lada, selain kemudahan asas lain seperti sistem perparitan, sistem saliran air dan kumbahan, jalan serta kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut dibina.
Dua (2) plot ujian ladang iaitu Plot Koleksi Germplasma Lada digunakan sebagai sumber bahan kajian untuk penyelidikan dan penyelenggaraan sumber genetik lada di Malaysia manakala Plot Ujian Ladang adalah untuk menguji keberkesanan hasil R&D.
Plot-plot tersebut akan membantu aktiviti pemantauan dan mengurangkan ralat yang boleh mengganggu kesahihan data saintifik sekali gus meningkatkan pendedahan hasil R&D dan inovasi lada kepada orang awam.
Justeru, melalui penubuhan stesen seumpama ini pemerkasaan R&D lada dapat diperkukuh dengan meningkatkan penemuan R&D dan inovasi baru bagi komoditi lada ke arah pembangunan industri lada yang mampan.
Pembinaan stesen dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.83 juta ini telah siap sepenuhnya secara fizikal dan dijangka akan diserahkan kepada Lembaga Lada Malaysia pada bulan Mac 2022.
Perkara ini dijelaskan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin ketika membuat tinjauan ke Projek Stesen Penyelidikan Lapangan, Lembaga Lada Malaysia (MPB) di Semenggok, Kuching pada 14 Februari 2022.

Pembinaan Stesen Penyelidikan MPB di Semonggok ini adalah usaha yang wajar dilakukan kerana industri lada merupakan salah satu komoditi penting dalam sektor Agrikomoditi yang dipelopori oleh pekebun kecil.
Lada atau Peper Nigrum yang dikenali sebagai “Raja Rempah adalah salah satu komoditi utama yang bernilai tinggi dan didagangkan secara global di Malaysia.
Lada Malaysia terutama yang berasal dari Sarawak yang terkenal dengan keunikan dan kenaikan rasa yang tersendiri telah menjadi bahan utama yang dicari dari seluruh dunia dan telah dieksport ke seluruh dunia kerana ia digunakan sebagai ramuan masakan.
Kini, Malaysia berada di kedudukan kelima sebagai pengeluar lada terbesar di dunia dan pengeluaran lada negara mencatatkan pertumbuhan yang ketara berikutan hasil peningkatan produktiviti.
Lada Putih Berkrim atau Creamy White Pepper (CWP) adalah lada berkualiti premium yang dihasilkan khusus oleh pekebun kecil lada pada peringkat ladang.

CWP dihasilkan melalui proses semula jadi tanpa menggunakan bahan pengawet atau tambahan:
- Biji lada yang telah matang sepenuhnya dituai dan dipilih dengan teliti
- Biji lada yang dipilih direndam di dalam tangki dengan air yang mengalir dalam keadaan terkawal untuk menghilangkan perikarp.
- CWP juga dapat dihasilkan dengan merendam biji lada yang matang di aliran air gunung yang bersih dan jernih.
- Pemantauan peredaran air yang berterusan menghasilkan CWP berkualiti tinggi yang seragam.
- Proses ini juga membolehkan CWP memperoleh aroma dan rasa yang khusus.
CWP mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna tempatan dan antarabangsa termasuk pengimport, terutamanya dari industri makanan dan hospitaliti di Amerika Syarikat, Jepun, China dan Singapura.
CWP juga dijual pada harga premium, iaitu hampir 2.5 kali ganda daripada harga lada putih biasa.



