Di Sarawak, transformasi luar bandar bukan sekadar berkisar tentang jalan berturap atau bekalan elektrik 24 jam, namun ia lebih mendalam apabila merangkumi harapan anak muda, suara komuniti, dan impian masa depan yang dibina bersama.
Dalam landskap yang semakin mencabar ini, peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu ditafsir semula.
Bukan lagi sekadar pemantau atau penyampai dasar, JKKK kini dituntut menjadi pemangkin perubahan yang menyantuni keperluan generasi muda dan komuniti desa secara menyeluruh termasuk dari aspek fizikal, sosial, hingga jiwa dan budaya kampung.
Antara contoh terbaik pendekatan inklusif ini ialah Kampung Bawang, Puncak Borneo di mana JKKK setempat memainkan peranan aktif dalam menyokong inisiatif anak muda melalui kerjasama erat bersama Kelab Belia Kampung Bawang (KBKB).
Melalui semangat gotong-royong dan sokongan moral serta logistik daripada JKKK, pelbagai program belia telah berjaya dilaksanakan. Antaranya termasuk:
- Kejohanan Futsal Tertutup Piala Gawai Kampung Bawang yang bukan sekadar acara riadah, tetapi platform memperkukuh perpaduan dan disiplin anak muda.
- Gotong-royong menyelenggara fasiliti sukan untuk menyemai rasa tanggungjawab terhadap aset kampung.
- Perarakan Gawai tahun 2024 dan 2025 demi memperkukuh identiti budaya serta membina rasa bangga terhadap warisan sendiri.



Usaha sebegini menunjukkan bahawa apabila JKKK membuka ruang kepada belia, mereka bukan sahaja menyumbang tenaga dan idea, malah turut menjadi agen perubahan yang sebenar.
Kehadiran mereka dalam perancangan dan pelaksanaan program bukan sekadar kosmetik, tetapi memberi nyawa kepada aspirasi pembangunan desa yang lebih lestari dan menyeluruh.
Seiring dengan kesungguhan dan semangat komuniti, bermula tahun 2024, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan geran sebanyak RM5,000 kepada setiap JKKK berdaftar di seluruh negara.
Di Sarawak sahaja, lebih 5,976 JKKK telah berdaftar setakat Januari 2024, jelas menunjukkan satu angka yang menggambarkan besarnya potensi dan amanah yang dipikul.
Institusi JKKK bukan sekadar pemantau keselamatan kampung, malah kini dituntut untuk lebih responsif terhadap aspirasi golongan belia dan menjadi pemacu pembangunan desa yang inklusif.
Mengambil contoh, hasil tinjauan RAKAN Sarawak pada tahun 2022 mendapati Daerah Kecil Spaoh di Bahagian Betong adalah antara contoh terbaik bagaimana pembangunan kerajaan telah memberi impak langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Dengan populasi melebihi 19,000 orang ketika itu dan majoriti penduduknya adalah petani, Spaoh bukan sekadar berubah wajah tetapi turut menyentuh “jiwa” komuniti.
Menurut Penghulu Legam, pembangunan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik adalah tunjang kepada perubahan taraf hidup masyarakat luar bandar.
Kini, hampir semua rumah panjang di Spaoh telah menikmati kemudahan asas tersebut, manakala sambungan internet yang semakin meluas terus mengubah gaya hidup walaupun liputannya belum sempurna sepenuhnya.
TR Enteri anak Lengkoi dari Rumah Samu melihat perubahan drastik di kampungnya yang dahulunya agak terpencil.
Bagi beliau, air bersih, elektrik dan internet bukan lagi satu kemewahan, tetapi merupakan keperluan asas yang memudahkan kehidupan seharian.
Manakala di Rumah Udau, TR Judin Girik ak Enggau berkongsi bagaimana bantuan RM3,000 setiap pintu rumah bagi kerja baik pulih telah meningkatkan keselamatan dan keselesaan rumah panjang.
Penduduk juga aktif menyertai projek tanaman seperti kelapa sawit dan getah, yang memberikan sumber pendapatan tambahan.
Namun, menurut TR Bernard ak Mathew dari Rumah Engkerbai Anyut, tanaman getah semakin tua dan kurang produktif.
Beliau amat berharap agar Jabatan Pertanian dapat membantu mereka menanam semula menggunakan baka baharu demi kelangsungan ekonomi kampung mereka.
Sementara itu, TR Kevin Bundak dari Rumah Tanjung Baru menghargai bantuan RISDA, namun turut menyarankan projek alternatif seperti penternakan lembu atau ikan keli, memandangkan harga getah yang tidak menentu menyebabkan pendapatan petani terdedah kepada risiko.
Beliau juga berharap agar skim bantuan RM3,000 diteruskan untuk menjamin kestabilan kewangan penduduk luar bandar.
TR Philomena Kupa ak Lemada, seorang pemimpin wanita yang dihormati, menekankan bahawa biro wanita di rumah panjangnya telah diberi pendedahan kepada pelbagai kemahiran seperti menjahit, menyulam dan memasak.
Ini membolehkan lebih ramai wanita menceburi perniagaan kecil-kecilan seperti pembuatan kuih-muih dan kraf tangan, sekali gus memelihara warisan tradisi yang semakin terhakis.
Baginya, sambungan internet yang stabil bukan sekadar alat komunikasi, tetapi penghubung emosi antara anak muda dan kampung halaman.
Teknologi telah membuka peluang lebih luas kepada generasi baharu untuk kembali ke desa, menyumbang bakti dan menjadi sebahagian daripada perubahan yang sedang berlaku.
Tinjauan RAKAN Sarawak pada tahun 2021 pula merakamkan gambaran segar dari Kampung Tringgus Bong, Daerah Bau.
Kampung ini bukan sahaja menikmati kemudahan asas, malah berjaya melahirkan generasi muda yang bersemangat dan menghargai pembangunan.
Jemen anak Jagan, 28 tahun, melihat gelanggang futsal di kampungnya sebagai lebih daripada ruang riadah kerana ia adalah simbol dan pemangkin perubahan sosial.
Dahulu tiada tempat untuk bersukan, kini setiap petang gelanggang itu menjadi medan pertemuan dan perpaduan.
Kendrix Callysia Baon, 17 tahun, pula berbangga dengan sistem Tagang, satu bentuk konservasi ikan sungai yang menyumbang kepada pelancongan lestari.
Dia terinspirasi untuk mempromosi budaya kampung seperti Pesta Gawai Guna menerusi media sosial kerana bagi beliau, pelestarian budaya dan alam sekitar ialah aset masa depan.
Ashly Alyssa Esther anak Sudin, 16 tahun, menyifatkan terminal VSAT sebagai penyelamat ketika tempoh PKP.
Ketika sekolah ditutup, internet satelit memastikan pelajar seperti beliau terus terhubung dengan pendidikan iaitu menerusi satu bentuk akses yang kini dianggap kritikal.
Bagi Zander Yan Eden, 16 tahun, kecintaan terhadap kampung diterjemahkan melalui amalan gotong-royong menjaga alam sekitar.
Katanya, “Kalau kita tidak menjaga kampung kita sendiri, siapa lagi?” Satu ungkapan yang menyuarakan tanggungjawab generasi muda terhadap persekitaran.
Samuel Asriel anak Daos, 15 tahun, pula menyifatkan bekalan elektrik sebagai perubahan paling besar dalam hidupnya.
Dahulu, dia hanya boleh menyiapkan kerja sekolah waktu siang kerana bergantung kepada generator, tetapi kini, dengan adanya bekalan elektrik yang stabil, dia boleh belajar pada bila-bila masa, terutama pada malam yang tenang.
Kisah-kisah ini membuktikan bahawa apabila kemudahan asas tersedia dan persekitaran kondusif diwujudkan, belia kampung mampu menzahirkan potensi mereka secara aktif.
Namun begitu, untuk memastikan semangat ini tidak terhenti di pertengahan jalan, JKKK perlu lebih bersedia dan strategik dalam mendokong penyertaan belia.

Walaupun geran telah diperuntukkan kepada setiap JKKK sejak awal 2024, banyak kampung masih bergelut dalam tadbir urus, khususnya melibatkan belia.
Empat isu utama telah dikenal pasti ialah:
- Tiada data asas belia
Kebanyakan JKKK tidak mempunyai profil lengkap penduduk, khususnya statistik belia seperti umur, pendidikan dan kemahiran. Tanpa data ini, program yang dirancang menjadi tidak bersasar.
- Kurangnya wakil belia
Walaupun sejak 2018 telah dicadangkan pelantikan sekurang-kurangnya dua belia dalam JKKK, pelaksanaannya masih perlahan, menyebabkan suara anak muda terpinggir.
- Kekurangan latihan kepimpinan
Hanya 80 orang ahli JKKK dari Zon Kuching mengikuti kursus kepimpinan komuniti setakat November 2023, menunjukkan jumlah kecil berbanding keseluruhan JKKK di Sarawak.
- Pengurusan dana tidak optimum
Ramai pemegang jawatan JKKK masih belum mahir dalam pengurusan kewangan dan pemantauan program, menyebabkan geran belia kurang memberi impak berpanjangan.
Untuk menyantuni dan memperkasakan belia luar bandar, beberapa pendekatan dicadangkan seperti:;
- Bangunkan profil belia kampung
JKKK harus bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pejabat Daerah dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam mengumpul data belia seperti nama, umur, tahap pendidikan, minat dan kemahiran.
- Lantik wakil belia dalam JKKK
Setiap JKKK disaran melantik sekurang-kurangnya dua wakil belia yang diberi mandat untuk menerajui program seperti program digital, agro-pelancongan dan inovasi sosial.
- Latihan dan digitalisasi tadbir urus
Modul seperti Rural Community Leadership Empowerment Course perlu diperluaskan agar pemimpin JKKK lebih celik digital dan cekap dalam pengurusan kewangan serta komunikasi dua hala dengan belia.
- Laksana projek rintis “Kampung Pintar Belia” misalnya;
- Limbang – Pementoran dan latihan kepimpinan belia
- Buntal – Pelancongan komuniti berasaskan alam semula jadi
- Tringgus Bong – Pelancongan budaya dan konservasi sungai
Kesimpulannya, transformasi sebenar luar bandar bukan hanya tentang infrastruktur, tetapi tentang membina jiwa komuniti yang percaya kepada masa depan mereka sendiri.
Dengan data yang tepat, suara belia yang diangkat, dan tadbir urus yang berwibawa, JKKK mampu menjadi tulang belakang kepada kampung yang berdaya tahan dan berdaya saing.
Anak muda bukan lagi sekadar pewaris kampung tetapi mereka ialah pencipta masa depan, justeru apabila pendekatan penyelesaian ini dijadikan norma, maka Sarawak tidak akan kekurangan pemimpin desa muda menjelang 2030.
Sumber rujukan :

