Kaedah pembayaran secara digital atau tanpa tunai semakin berkembang seiring dengan kepesatan teknologi pembayaran digital seperti dompet elektronik, perbankan internet, pindahan dana elektronik, sistem tunai elektronik dan sistem simpanan nilai dalam talian.
Kaedah pembayaran tanpa tunai ini dilihat sangat efisien kerana ia membolehkan pengguna membuat pembayaran pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada.
Secara tidak langsung, ia telah dapat meringankan beban pengguna apatah lagi, bagi mereka yang sibuk dengan urusan kerja seharian di samping dapat menjimatkan kos pengangkutan.
Service Sarawak antara platform pembayaran digital yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak untuk memudahkan orang ramai membuat pembayaran bil utiliti (air dan elektrik) dan cukai pintu rumah dengan mudah dan cepat.

Pusat Service Sarawak yang diwujudkan pada tahun 2018 adalah salah satu usaha ke arah digital ekonomi dan sebagai inisiatif untuk memudahkan penduduk di kawasan bandar dan luar bandar berurusan dengan jabatan atau agensi kerajaan.
Kini, Pusat Service Sarawak tidak hanya menawarkan perkhidmatan dari kaunter, malahan melalui portal rasmi, aplikasi telefon pintar, dan eKiosk sebagai usaha menyantuni keperluan dan kehendak rakyat.

Kepelbagaian saluran perkhidmatan ini bertujuan untuk memberi kemudahan kepada rakyat dalam membuat pilihan pembayaran yang menyenangkan mereka.
Platform pembayaran digital seperti ini merupakan sebahagian daripada landskap besar inovasi dan revolusi dalam bidang teknologi kewangan yang menyaksikan urus niaga tanpa tunai tidak lagi terbatas kepada penggunaan pindahan wang melalui e-perbankan, kad kredit atau kad debit.
Setakat ini, sebanyak 34 buah agensi Kerajaan Negeri Sarawak telah memperluaskan sebahagian perkhidmatan mereka menggunakan platform Service Sarawak.
Antaranya ialah 26 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Sarawak, Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB), Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd.

Melalui eKiosk, orang ramai boleh membuat pembayaran bil dengan lebih mudah dan pada bila-bila masa sahaja, kerana yang diperlukan hanya nombor akaun bil pilihan.
eKIOSK terdapat di beberapa buah lokasi seperti di Pusat Perkhidmatan Service Sarawak UTC Kuching, UTC Sibu, UTC Miri, Pasar Raya Aeon (Kuching), Pasar Raya Aiman (Samarahan), Pasar Raya Eastern (Siburan), Parkcity Mall (Bintulu) dan Limbang Plaza (Limbang).

Kelebihan eKiosk Service Sarawak ialah, anda tidak perlu lagi berbaris menunggu giliran di kaunter perkhidmatan, sebaliknya anda cuma perlu menggunakan bil utiliti dan pembayaran boleh dilakukan menggunakan kad debit atau kad kredit.
Selain membuat pembayaran bil, pelanggan juga boleh menyemak sejarah pembayaran bil dengan menggunakan nombor bil atau membuat imbasan kod bar pada bil dan membuat pengesahan Sarawak ID melalui eKiosk ini.
Semakan pembayaran bil melalui eKiosk ini telah memudahkan orang ramai membuat semakan sebarang tunggakan atau transaksi pembayaran yang telah dilakukan.
Selain platform eKiosk, pembayaran bil juga boleh dibuat melalui portal rasmi Service Sarawak (service.sarawak.gov.my), malah permohonan Biasiswa Pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak (BKPNS) juga boleh dibuat di portal Service Sarawak tersebut.
BKPNS merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menampung sebahagian daripada kos pendidikan pelajar seperti yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun pengangkutan, elaun buku, pakaian dan lain-lain keperluan.
Perkhidmatan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) seperti; Pembayaran pinjaman perumahan; Pembayaran sewa rumah; Caj penyelenggaraan; dan Pinjaman rumah Panjang juga boleh dibuat di portal Service Sarawak.
Melalui aplikasi telefon mudah alih Service Sarawak pula, orang ramai kini boleh mendapatkan e-billing untuk bil cukai pintu tanpa perlu pergi ke kaunter.
Melalui portal Service Sarawak dan Service Sarawak apps, transaksi boleh dibuat melalui internet menggunakan wang dari akaun simpanan atau akaun semasa dalam masa 24 jam.
Service Sarawak memberikan pengalaman yang lebih baik kepada orang ramai kerana perkhidmatan yang disediakan ini adalah percuma dan pelanggan boleh membuat pembayaran kepada semua penyedia perkhidmatan yang melanggan perkhidmatan Service Sarawak.
Bagi agensi-agensi kerajaan seperti JBALB, HDC, PBT dan sebagainya, kemudahan pembayaran melalui Service Sarawak dapat memudahkan pelanggan membuat pembayaran.
Manakala, agensi-agensi kerajaan yang menerima pembayaran melalui Service Sarawak dapat meningkatkan pengurusan kewangan melalui rekod pembayaran yang lebih tepat, penerimaan bayaran yang lebih cepat serta pemberitahuan (notification) penerimaan pembayaran yang pantas.
Melihat kepada kepentingan dan kepantasan dalam melakukan urusan pembayaran secara digital ini bahkan untuk memperkasakan lagi urus niaga pembayaran digital ini, kelompok yang perlu diyakinkan tentang manfaat pembayaran digital ialah pengguna.
Usaha ini perlu disokong dengan program kesedaran, pendidikan, insentif dan sokongan daripada pihak kerajaan atau pemain utama dalam teknologi kewangan.
Hal ini kerana, sebarang inisiatif yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan harus disambut baik oleh orang ramai kerana jika tidak, maka inisiatif yang dilaksanakan tentu tidak akan berjaya.
Pihak kerajaan harus memaklumkan tentang manfaat sistem pembayaran digital ini kepada orang ramai berkenaan keselamatan, kepantasan, tujuan merekodkan dan daripada segi kos.
Orang ramai perlu diyakinkan bahawa, pembayaran secara digital membolehkan mereka membuat pembayaran dengan pantas.
Selain itu, mereka perlu difahamkan bahawa pembayaran digital akan memudahkan mereka merekodkan urus niaga yang berlaku, sekaligus mengatasi masalah seperti keciciran dokumen, kehilangan bukti urus niaga atau simpanan dokumen bercetak yang banyak.
Hal ini dikatakan demikian kerana semua rekod ini disimpan secara digital dan boleh dicapai oleh mereka pada bila-bila masa apabila diperlukan.
Manfaat yang ketara daripada pembayaran digital ini ialah penjimatan kos kerana pembayaran melalui platform Service Sarawak tidak mengenakan sebarang caj kepada pengguna.
Hal ini dapat menjimatkan kos kepada pengguna berbanding dengan pembayaran seperti wang pos, pindahan wang, dan kad kredit yang mengenakan yuran urus niaga kepada pengguna. Kesimpulannya, Service Sarawak merupakan kaedah pembayaran kepada perkhidmatan kerajaan secara elektronik dengan menggunakan mod bayaran tanpa tunai seperti kad kredit, kad debit dan lain-lain melalui pelbagai saluran bayaran seperti eKiosk, portal dan aplikasi telefon pintar.

