Kesihatan mental semakin hangat dibincangkan dalam masyarakat moden. Sungguh pun begitu, majoriti keluarga masih menghadapi situasi ‘kesunyian yang diwarisi’.
Situasi ini berlaku apabila ahli keluarga menyembunyikan perasaan atau kesakitan mental yang dialami yang dipengaruhi oleh kurangnya perbincangan sesama ahli keluarga yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Situasi ini bukan sahaja menjejaskan individu yang mengalami masalah kesihatan mental, tetapi juga boleh memberi kesan jangka masa panjang dalam hubungan kekeluargaan.
Hal ini juga akhirnya boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan perkembangan sosial masyarakat secara keseluruhan.
Dalam artikel “The Mental Health Toll of Silence in Families,” Rob Kendall menceritakan pengalamannya membesar dalam keluarga yang penyayang, tetapi jarang membincangkan tentang perasaan yang dipendam sesama ahli keluarga.
Selepas pemergian neneknya yang membunuh diri, beliau baru mengetahui bahawa neneknya telah bergelut dengan kemurungan dan percubaan bunuh diri bertahun-tahun lamanya, namun dirahsiakan oleh keluarganya.
Beliau juga mula menyedari bahawa datuknya serta kedua-dua ibu bapanya malah beliau sendiri mewarisi kecenderungan memendamkan perasaan dan mengelak untuk berbincang tentang kondisi mental masing-masing.
Membesar dalam keluarga anggota tentera, kedua-dua datuk sebelah ibu dan ayahnya termasuklah ayahnya sendiri yang juga pegawai kanan tentera bergelut dengan cabaran mental kesan daripada trauma kehilangan ramai rakan seperjuangan, ahli keluarga dan jiran ketika perang dunia.
Rob mengakui, kesakitan yang dipendam dalam kalangan ahli keluarganya yang senior turut mempengaruhi dirinya yang juga cenderung untuk tidak meluahkan rasa kasih sayang sama ada dengan pelukan ataupun dengan ungkapan mudah seperti “saya sayang kamu”.
Sepanjang tahun pengajiannya di universiti selepas pemergian neneknya, Rob yang ketika itu berjauhan dengan keluarganya mula sedar bahawa situasi “senyap” dalam keluarganya harus dinoktahkan.
Kos yang ditanggung akibat terlalu memendam perasaan telah membuatkan beliau bertekad untuk memecahkan kesunyian yang diwarisi itu.
Menyedari tiada corak luahan kasih sayang dizahirkan dalam keluarganya, Rob mengirim kad yang tertulis ungkapan penghargaan dan kasih sayangnya kepada kedua ibu bapanya yang telah berkorban masa, tenaga dan harta dalam membesarkannya.
Rob cuba untuk mengejar masa yang hilang dan mula berkomunikasi dengan ahli keluarganya.
Namun, beliau tidak pernah menerima maklum balas daripada orang tuanya tentang kad yang telah dikirimkannya dan merasakan seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Hanya apabila beliau balik bercuti di kediaman neneknya di Norfolk, ibunya memberitahu bahawa buat pertama kalinya selepas 40 tahun, ayahnya menghantar kad sempena Hari Valentine kepada ibunya yang mengatakan bahawa ayahnya mencintai ibunya.
Sejak itu, Rob mula perasan yang tindakannya mengirim kad kepada ibu bapanya yang tertulis luahan kasih sayang telah menjadi titik tolak perubahan positif dalam hubungan antara ahli keluarganya.
Benih kasih sayang dalam keluarganya telah disemai sehinggalah pada usia senja ayahnya, ayahnya sering mengungkapkan cinta dan kasih sayangnya kepada beliau setiap kali mereka bercakap.
Rob berkongsi pengalamannya dalam artikel tersebut sebagai peringatan bahawa ungkapan kasih sayang, penghargaan dan keprihatinan yang kecil boleh memberi impak yang mendalam kepada kehidupan orang di sekeliling kita.
Oleh yang demikian, beliau berkongsikan langkah yang perlu diambil bagi memecahkan kesunyian yang diwarisi seperti melabur dalam hubungan, bertanyakan perasaan sebenar orang sekeliling dan berkongsi kisah peribadi.

Melabur dalam hubungan
Rob menegaskan bahawa setiap perbualan mempunyai dimensi hubungan walaupun topik yang dibicarakan remeh atau bersifat transaksional.
Oleh itu, apa yang perlu dilakukan menurut beliau adalah seseorang individu harus bijak mengawal nada dan cara berinteraksi serta bertanggungjawab terhadap impak komunikasi yang diberikan kepada orang lain.
Setiap perbualan juga adalah peluang untuk melabur dalam hubungan dan perlu dimulakan dengan memberi perhatian dan sikap ambil peduli untuk mendengar.
Lama-kelamaan, tindakan seperti ini akan menimbulkan kepercayaan dan pertalian yang kuat.
Bertanyakan perasaan sebenar orang sekeliling
Ramai orang yang mengalami kemurungan malu untuk mengatakan mereka sedang bergelut dan mempunyai mekanisme yang baik untuk menyembunyikan perasaan sebenar.
Perasaan kosong, putus asa dan mempunyai pemikiran tentang kematian dan bunuh diri mempengaruhi cara seseorang berkomunikasi.
Mereka lebih suka menyendiri dan gaya bahasa komunikasi yang boleh memberi gambaran bahawa mereka sedang bergelut mengatasi cabaran mental.
Tindakan menyembunyikan perasaan didorong oleh rasa tidak mahu membebankan orang lain. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna kita tidak perlu untuk bertanya perasaan sebenar mereka.
Berdasarkan Laporan Emosi Global Gallup 2022, seramai 330 juta orang dewasa enggan bercakap dengan rakan atau ahli keluarga sekurang-kurangnya selama tempoh dua minggu.
Menurut Rob, mengetahui perasaan sebenar seseorang yang menghadapi kesihatan mental boleh membawa perubahan yang menyelamatkan nyawa.
Jika kita mendapati orang sekeliling kita berasa tertekan sehingga membuat kenyataan yang membimbangkan, kita perlu memulakan perbualan yang boleh membawa kepada pengetahuan sebenar tentang apa yang mereka rasai dan alami.
Beliau juga berkongsi bahawa sekiranya kita tidak mengenali rakan sekerja secara peribadi, kita perlu bercakap dengan majikan ataupun rakan sekerja yang rapat dengannya.
Jika individu yang sedang berjuang itu seorang rakan rapat, maka kita perlu bercakap dengannya secara langsung ataupun dengan salah seorang daripada ahli keluarganya.
Perlu diingatkan bahawa tindakan berdiam diri tanpa bertanyakan apa-apa adalah pilihan yang paling buruk.
Berkongsi kisah peribadi
Sepertimana yang dialami oleh Rob, beliau mengambil langkah berkongsi tentang kisah keluarganya secara terbuka supaya orang lain turut berasa selesa dan mudah untuk bersuara.
Beliau pernah menghabiskan masa berminggu-minggu dengan para pekerja sektor pembinaan yang mana persekitaran yang maskulin telah mewujudkan situasi yang melihat berkongsi perasaan sesama rakan sekerja sebagai satu kelemahan.
Namun, apa yang beliau lakukan adalah beliau mula bercakap secara terbuka dengan lebih kerap tentang cabaran yang dihadapi oleh beliau dan keluarga beliau, malah tersentuh dengan respons daripada orang ramai.
Sejak itu, Rob melihat lebih banyak kejujuran, belas kasihan dan kesahan yang beliau bayangkan.
Tegas beliau, hidup ini ada suka dan dukanya dan adalah menjadi tragedi jika kita menyembunyikan kesakitan.
Oleh itu, beliau mengingatkan bahawa semuanya harus bermula dengan keberanian untuk mengatakan bahawa “saya rasa tidak sihat.”
Sikap berdiam diri atau menyembunyikan perasaan berkaitan kesihatan mental boleh mejejaskan kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
Walaupun budaya berdiam diri terbentuk disebabkan oleh pelbagai faktor sejarah, sosial dan budaya, hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk diubah.
Apa yang dapat dipelajari daripada kisah Rob Kendall yang juga penulis buku “Watch Your Language: Why Conversations Go Wrong and How to Fix Them” adalah, perbualan secara terbuka mampu menyembuhkan kesakitan yang dipendam antara generasi.
Pemergian neneknya yang tragis ternyata memberi kesedaran kepada beliau untuk membicarakan isu kesihatan mental secara terbuka, seterusnya membantu mereka yang bergelut dengan masalah mental.
Menerusi komunikasi yang lebih terbuka, kitaran kesunyian yang diwarisi mampu dipecahkan, lantas meningkatkan kesedaran dan menghapuskan stigma terhadap kesihatan mental.
Masalah kesihatan mental bukanlah isu yang perlu disembunyikan, tetapi sebaliknya adalah perkara penting dalam kesejahteraan manusia yang wajar dibincangkan, difahami dan diambil peduli oleh satu generasi ke generasi yang seterusnya.
Rujukan: https://welldoing.org/article/the-mental-health-toll-silence-in-families



