Isu kesihatan mental di Malaysia kini semakin membimbangkan dan tidak lagi boleh dianggap sebagai masalah terpencil.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 yang diumumkan pada tahun 2024 mendapati kira-kira satu juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan.
Lebih membimbangkan, kadar kemurungan didapati meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh empat tahun dan paling tinggi dalam kalangan belia berusia 16 hingga 29 tahun.
Dalam masa sama, satu daripada enam kanak-kanak Malaysia berusia lima hingga 15 tahun turut dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental seperti gangguan emosi, masalah tingkah laku dan hiperaktif.

Data NHMS 2023 juga menunjukkan hampir separuh individu yang mengalami kemurungan pernah mempunyai pemikiran untuk mencederakan diri sendiri atau bunuh diri.
Statistik ini menggambarkan bahawa kesihatan mental bukan lagi isu pinggiran, sebaliknya cabaran kesihatan awam yang memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan manusiawi.
Dalam situasi inilah munculnya pendekatan terapi seni melalui pameran perpustakaan advokasi sebagai salah satu medium sokongan emosi yang semakin mendapat perhatian di peringkat global.
Berbeza dengan pendekatan klinikal semata-mata, perpustakaan advokasi menggunakan karya seni, puisi dan fotografi sebagai medium untuk membuka ruang dialog tentang pengalaman hidup individu yang pernah berdepan kemurungan, keresahan, trauma atau gangguan mental lain.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada individu berkongsi pengalaman, malah membantu masyarakat memahami realiti penyakit mental secara lebih empati.
Pendekatan ini penting kerana ia tidak hanya memfokuskan masalah kesihatan mental, tetapi turut mengetengahkan usaha pemulihan yang sedang dilaksanakan oleh komuniti kreatif dan institusi sosial.
Antara contoh nyata ialah penerbitan antologi puisi Shards: A Mental Health Charity Anthology yang menghimpunkan karya penulis dari pelbagai negara berkaitan trauma, keresahan, PTSD dan kemurungan.
Antologi ini diterbitkan sebagai usaha advokasi kesihatan mental dan sebahagian hasil jualannya disalurkan kepada organisasi berkaitan sokongan mental.
Karya seperti ini menunjukkan bahawa penulisan kreatif boleh menjadi sebahagian daripada proses pemulihan emosi.
Dalam bidang psikologi, pendekatan ini dikenali sebagai “expressive therapy” atau terapi ekspresif yang membantu individu memahami trauma dan mengurus tekanan melalui proses kreatif.
Selain puisi, seni visual dan fotografi juga memainkan peranan besar dalam advokasi kesihatan mental seperti Buku Fault Lines: A Collection of Contemporary Poetry and Photography.
Buku ini menggabungkan puisi dan fotografi untuk menggambarkan perjuangan emosi individu yang hidup dengan keresahan dan kemurungan.
Gabungan visual dan puisi menjadikan pengalaman membaca lebih mendalam kerana pembaca bukan sahaja memahami emosi melalui kata-kata, tetapi turut melihat ekspresi kesakitan dan pemulihan menerusi imej yang dipaparkan.
Pendekatan sama turut digunakan dalam beberapa pameran seni kesihatan mental di Amerika Syarikat dan Eropah.
Antara projek yang mendapat perhatian ialah dokumentasi fotografi berkaitan kehidupan individu dengan skizofrenia yang diterbitkan oleh majalah TIME.
Projek tersebut memaparkan realiti kehidupan pesakit mental secara jujur tanpa unsur eksploitasi, sekali gus membantu masyarakat melihat penyakit mental dari sudut lebih manusiawi.
Apa yang menjadikan pameran terapi seni lebih signifikan ialah kemampuannya membina hubungan sosial dan sokongan komuniti.
Pengunjung yang mungkin sedang bergelut dengan emosi akan merasa mereka tidak bersendirian apabila membaca kisah hidup individu lain yang pernah melalui pengalaman sama.
Dalam banyak keadaan, karya seni menjadi medium komunikasi yang lebih selamat berbanding perbualan langsung.
Individu yang sukar meluahkan perasaan secara verbal lebih mudah mengekspresikan emosi melalui lukisan, puisi, jurnal visual atau fotografi.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menegaskan bahawa kesihatan mental merupakan komponen penting kesejahteraan manusia dan intervensi komuniti seperti seni serta aktiviti sosial mampu membantu meningkatkan kesejahteraan emosi masyarakat.
Di Malaysia, pendekatan perpustakaan advokasi masih berada pada peringkat awal, namun potensinya amat besar.

Perpustakaan awam, universiti dan pusat komuniti boleh memainkan peranan dengan menyediakan ruang khas bagi koleksi puisi, buku fotografi dan jurnal visual berkaitan pengalaman penyakit mental.
Sebagai contoh, pameran kecil boleh diadakan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia dengan menampilkan karya individu yang pernah menjalani rawatan kesihatan mental.
Aktiviti sampingan seperti sesi membaca puisi, penulisan jurnal (journaling) terapi seni dan forum komuniti juga boleh membantu masyarakat membina empati terhadap isu ini.
Lebih penting, pendekatan ini memberi peluang kepada individu dengan pengalaman penyakit mental untuk dilihat sebagai pengkarya dan penyumbang masyarakat, bukannya sekadar “pesakit”.
Perubahan naratif seperti ini sangat penting dalam mengurangkan stigma sosial yang masih kuat dalam masyarakat.
Realitinya, stigma merupakan antara cabaran terbesar dalam isu kesihatan mental dimana ramai yang masih takut mendapatkan bantuan kerana bimbang dilabel lemah, tidak stabil atau gagal mengawal emosi dan akibatnya, ramai memilih untuk memendam penderitaan secara senyap.
Di sinilah seni memainkan peranan penting kerana satu gambar, puisi atau catatan jurnal mampu menyampaikan emosi lebih mendalam daripada laporan statistik, sekali gus membuka ruang untuk masyarakat memahami pengalaman individu lain tanpa prejudis.
Dalam konteks kesihatan mental, pameran terapi seni dan perpustakaan advokasi mungkin bukan penyelesaian mutlak, tetapi ia membuka ruang perbualan yang lebih inklusif, penuh empati dan memberi harapan.
Apabila masyarakat mula membaca dan memahami kisah sebenar individu yang pernah melalui kemurungan, trauma atau keresahan, mereka akan lebih sedar bahawa proses pemulihan memerlukan sokongan komuniti, bukannya penghakiman.
Rujukan:
- Carvalho, M., & Rahim, R. (2024, May 16). Significant increase in depression among Malaysians since 2019, NHMS 2023 reveals. The Star. https://www.thestar.com.my/news/nation/2024/05/16/significant-increase-in-depression-among-malaysians-since-2019-nhms-2023-reveals
- CARVALHO, M., RAHIM, R., RAGANANTHINI VETHASALAM, & TAN, T. (2024, May 16). A million depressed Malaysians. The Star. https://www.thestar.com.my/news/nation/2024/05/17/a-million-depressed-malaysians
- Rowan, S. (2024, March 3). Shards: A Mental Health Poetry Anthology | 2024 First Edition | The Ravens Quoth Press. Ravens Quoth Press. https://www.theravensquoth.press/shards/
- A Photographic Diary of One Man’s Struggle with Mental Illness. (n.d.). Time. https://time.com/6147539/photographic-diary-of-schizophrenia/
- World Health Organization. (2025). Mental Health. World Health Organization. https://www.who.int/health-topics/mental-healthtab=tab_1
- Mohanraj, D. D. A. (n.d.). Addressing Malaysian adolescent mental health woes. The Star. https://www.thestar.com.my/lifestyle/health/matters-of-the-mind/2024/06/04/addressing-malaysian-adolescent-mental-health-woes
- Mat Rifin, H., Mohd Yusoff, M. F., & Abd Hamid, H. A. (2025). Conducting the National Health and Morbidity Survey 2023 in Malaysia with focus on methodology and main findings on non-communicable diseases. Scientific Reports, 15(1). https://doi.org/10.1038/s41598-025-08311-9



