Dalam konteks sukan dan olahraga, low battery merujuk keletihan mental, fizikal dan emosi yang melampau.
Keadaan ini menyebabkan seseorang atlet sentiasa berasa lesu, kehabisan tenaga walaupun selepas berehat serta menyebabkan hilang fokus, hilang motivasi dan produktiviti yang boleh menjejaskan prestasi.
Dalam dokumentari bertajuk ‘Headstrong: Mental Health and Sports’, isu kesihatan mental dalam dunia sukan dibicarakan dengan menampilkan kisah beberapa atlet elit yang berdepan cabaran seperti kemurungan, kebimbangan, tekanan emosi dan trauma.

Dokumentari yang diterbitkan oleh NBC Sports pada tahun 2020 menceritakan bahawa walaupun atlet kelihatan kuat dari segi fizikal, mereka juga mempunyai kelemahan emosi dan mental akibat tekanan prestasi, harapan masyarakat, kecederaan serta gaya hidup yang kompetitif.
Antara atlet yang diketengahkan ialah Justise Winslow, Hayden Hurst dan Clint Malarchuk yang berkongsi pengalaman peribadi mereka dalam menghadapi masalah kesihatan mental.
Perkongsian mereka menekankan kepentingan mendapatkan bantuan profesional, sokongan sosial dan membuka ruang perbincangan tentang kesihatan mental dalam kalangan atlet bagi mengurangkan stigma masyarakat.
Ia turut membuka mata umum tentang harga sebenar di sebalik kejayaan atlet-atlet profesional bertaraf dunia yang memerlukan pengorbanan masa muda, kehidupan sosial dan identiti diri demi mencapai prestasi tertinggi.
Kisah mereka mengingatkan bahawa kesihatan mental atlet perlu diberi perhatian yang sama penting dengan prestasi fizikal mereka.
Penonton diajak untuk merenung sejenak bahawa sokongan emosi, identiti diri yang seimbang dan persediaan dalam mengharungi cabaran serta menghadapi kehidupan selepas kemasyhuran adalah aspek yang tidak boleh diabaikan dalam pembangunan seseorang atlet.
Mengekalkan Kesihatan Mental dan Fizikal Atlet
Pada kebiasaannya, apabila kesihatan mental seseorang atlet itu baik maka prestasinya juga baik.
Demikian juga sebaliknya apabila kesihatan mental atlet tidak baik maka prestasinya juga kurang baik, seterusnya membawa kepada penurunan prestasi.
Menurut Felgenauer, 2021, tekanan mental boleh menghalang keupayaan atlet. Namun, atlet digalakkan untuk mempelajari strategi berdepan persaingan dengan pemikiran yang lebih sihat.
Apa yang dapat dilihat sekarang adalah kesedaran tentang kesihatan mental yang semakin meningkat turut membawa kepada peningkatan kaedah untuk menangani masalah kesihatan mental.
Untuk seseorang atlet, antara kaedah bagi menangani kesihatan mental dengan lebih baik adalah dengan memberi tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan selain menetapkan matlamat yang realistik dan mengingatkan diri mengapa memilih sukan yang diceburi.
Memberi Tumpuan Kepada Apa Yang Perlu Dilakukan
Sekiranya anda ialah antara salah seseorang atlet yang sedang bergelut secara mental, apa yang anda perlu lakukan adalah dengan memberi tumpuan kepada perkara-perkara asas dan kecil dalam bidang sukan yang diceburi.
Antara perkara yang perlu diberi tumpuan termasuklah mendapatkan tidur yang berkualiti, mengambil makanan berkhasiat atau mengamalkan rutin yang mampu mengelakkan kecederaan seperti teknik regangan otot yang betul.
Anda juga perlu memastikan bahawa anda melakukan yang terbaik dalam memberi tumpuan terhadap perkara-perkara tersebut sebelum mengharungi cabaran pertandingan yang besar.
Menetapkan Matlamat Realistik
Dalam dunia sukan, kebanyakan atlet mempunyai matlamat untuk menjadi atlet elit atau profesional.
Walau bagaimanapun, sekiranya menjadi atlet profesional adalah satu-satunya matlamat anda, anda sebenarnya sedang meletakkan diri menuju kegagalan.
Sebaliknya, dengan menyenaraikan beberapa matlamat kecil dan tidak meletakkan hanya satu matlamat akhir yang besar dapat membantu anda meningkatkan kesihatan mental.
Sebelum menetapkan matlamat akhir seperti ingin menjadi profesional, tetapkan dahulu matlamat kecil seperti ingin berada dalam senarai lima (5) teratas penjaring gol dalam pasukan ataupun menjadi pemain yang paling bekerja keras.
Oleh itu, tetapkan matlamat yang mampu dicapai dalam masa singkat sementara ia membawa anda ke arah matlamat akhir yang lebih besar.
Ingat Kembali Mengapa Anda Bermula
Lazimnya, zaman kanak-kanak adalah permulaan kepada minat dan kecenderungan seseorang terhadap sesuatu bidang sukan dan tempoh untuk mengasah bakat.
Meningkat dewasa, aspek-aspek kecil dalam sukan yang diminati mula dihargai secara perlahan-lahan dan ketika inilah memori yang mendorong untuk terus berkecimpung dalam dunia sukan mula tercipta.
Felgenauer (2021) menyatakan bahawa kelesuan (burnout) akibat tekanan melampau daripada atlet itu sendiri boleh menyebabkan penyakit mental.
Sebaliknya, cuba tetapkan semula fokus minda anda untuk mengingatkan kembali mengapa anda memilih sukan yang diceburi dan sejauh mana kemajuan yang telah anda capai sejak mula menceburinya.
Sebagai kesimpulan, kesihatan mental dalam aktiviti fizikal boleh menjadi perangsang atau penyebab kepada penurunan prestasi bergantung pada sebaik mana seseorang atlet mengurus tekanan dalaman dan luaran.
Hal tersebut demikian kerana kecerdasan intelek (IQ) mental adalah sebahagian daripada perjuangan untuk atlet mencapai kejayaan.
Dalam isu berkaitan ‘low battery’ dalam kalangan atlet, keadaan ini bukan sekadar kepenatan biasa, tetapi juga melibatkan gangguan emosi seperti tekanan melampau, kebimbangan, kelesuan dan kemurungan.
Oleh itu, keseimbangan yang baik di antara aktiviti di dalam dan di luar bidang sukan serta sokongan rakan sepasukan, jurulatih dan masyarakat secara keseluruhannya adalah kunci kepada kesejahteraan mental para atlet.


