Di tengah-tengah dunia yang semakin sibuk dan serba digital, ramai manusia sebenarnya sedang bergelut dengan satu bentuk kesunyian yang sukar dijelaskan.
Kita hidup dalam zaman yang dipenuhi notifikasi, media sosial, aplikasi sembang dan jaringan internet tanpa batas, namun ironinya ramai masih pulang ke rumah dengan rasa kosong yang tidak terisi kerana walaupun mempunyai ribuan pengikut di media sosial, mereka tetap dihimpit kesunyian.
Dalam keadaan inilah muncul istilah “modern loneliness” atau kesunyian moden iaitu satu keadaan emosi yang bukan sekadar tentang tiada orang di sekeliling, tetapi rasa tidak benar-benar terhubung dengan manusia lain.

Satu mitos besar yang sering menghantui masyarakat ialah ‘bersendirian’ yang dianggap seseorang itu kesunyian, padahal hakikatnya ialah, bersendirian dan kesunyian ialah dua perkara yang sangat berbeza.
Ada individu yang menikmati masa bersendirian untuk berehat, membaca, berjalan atau menikmati kopi tanpa merasa kosong.
Sebaliknya, ada juga individu yang sentiasa berada dalam kelompok ramai tetapi tetap merasa terasing secara emosi.
Kajian terkini menunjukkan bahawa kesunyian lebih berkait dengan kualiti hubungan sosial berbanding jumlah manusia di sekeliling seseorang.
Di Malaysia sendiri, isu kesihatan mental semakin mendapat perhatian serius dimana Laporan Malaysian Youth Mental Health Index 2023 yang diterbitkan pada 2024 mendapati tahap kesihatan mental belia Malaysia berada pada tahap sederhana memuaskan.
Namun, faktor sokongan sosial dan persekitaran menjadi antara elemen penting yang mempengaruhi kesejahteraan mental mereka.
Banyak anak muda mengakui mereka mempunyai ramai kenalan secara maya, tetapi sukar mencari ruang untuk benar-benar berbual dan didengari tanpa penghakiman.
Di sinilah konsep “third places” atau “tempat ketiga” menjadi sangat penting dalam kehidupan masyarakat moden.
Tempat ketiga merujuk kepada ruang selain rumah dan tempat kerja seperti perpustakaan, taman awam, kedai kopi, gelanggang komuniti, surau, pusat rekreasi dan kedai makan biasa yang menjadi lokasi manusia berkumpul serta berinteraksi secara santai.
Tempat-tempat inilah yang secara perlahan membina rasa kebersamaan dan hubungan sosial yang sihat.
Penyelidikan antarabangsa mendapati kewujudan third places membantu meningkatkan sokongan sosial dan mengurangkan rasa terasing dalam komuniti.
Di Kuching misalnya, fenomena ini dapat dilihat di beberapa ruang awam seperti Tebingan Kuching (Kuching Waterfront), Taman Perpaduan, Taman Sahabat dan sebagainya menjadi lokasi warga emas dan belia berjalan santai, anak muda bermain muzik jalanan dan keluarga berkumpul pada waktu malam.
Bagi sesetengah individu, rutin sederhana seperti duduk menikmati teh tarik sambil berbual dengan pelanggan tetap di warung sebenarnya menjadi “penyelamat emosi” yang tidak disedari.
Menariknya, ramai yang menyatakan mereka tidak memerlukan perbualan panjang setiap hari untuk merasa bahagia.
Kadangkala cukup sekadar melihat wajah biasa di kedai kopi atau bertukar senyuman dengan orang yang dikenali di taman awam.
Ini membuktikan manusia tidak semestinya memerlukan perhatian berlebihan untuk mengatasi kesunyian, sebaliknya mereka memerlukan rasa kewujudan mereka disedari.
Sebagai contohnya, di Jepun, kerajaan tempatan di beberapa bandar mula memperkenalkan community cafés untuk golongan warga emas dan individu bujang yang tinggal bersendirian.

Malah, budaya kissaten atau kafe tradisional Jepun sejak dahulu turut berfungsi sebagai “tempat ketiga” yang membolehkan masyarakat berehat, membaca akhbar dan berinteraksi secara santai di luar rumah serta tempat kerja.
Ruang seperti ini diwujudkan supaya masyarakat mempunyai tempat berkumpul tanpa tekanan sosial, malah ada yang datang membaca akhbar, ada yang bermain catur, dan ada juga yang sekadar duduk mendengar muzik.
Pendekatan ini dilihat lebih berkesan berbanding sekadar kempen kesedaran semata-mata kerana ia menyediakan ruang fizikal untuk hubungan manusia berlaku secara semula jadi.
Dalam dunia moden hari ini, ramai sebenarnya kehilangan “tempat ketiga” kerana masyarakat yang dahulunya banyak menghabiskan masa di balai raya, padang permainan atau rumah jiran kini lebih cenderung berinteraksi melalui skrin telefon semata-mata.
Kajian dan perbincangan global turut menunjukkan ramai mula menyedari kehilangan ruang sosial ini, namun sebahagian daripada mereka hanya mampu menggantikannya melalui komuniti digital seperti Discord dan kumpulan maya.
Malah, penyelidikan 2025 mendapati platform digital tertentu mampu mewujudkan pengalaman “third place” secara maya apabila digunakan untuk interaksi komuniti yang sihat.
Namun pakar tetap menegaskan bahawa hubungan fizikal dan interaksi bersemuka masih memainkan peranan penting dalam kesejahteraan emosi manusia.
Apa yang lebih membimbangkan, kesunyian kronik kini dikaitkan dengan pelbagai risiko kesihatan fizikal dan mental apabila kajian kesihatan awam mendapati individu yang mengalami kesunyian berpanjangan mempunyai risiko lebih tinggi untuk berdepan kemurungan, keresahan dan juga strok.
Ini menunjukkan kesunyian bukan sekadar “perasaan sementara”, tetapi isu kesihatan awam yang perlu diberi perhatian serius.
Masyarakat juga perlu berhenti menghakimi individu yang gemar bersendirian kerana tidak semua orang yang duduk sendirian di kedai kopi sedang menderita, sebaliknya ada yang sekadar mencari ruang untuk menenangkan fikiran dan menikmati ketenangan diri.
Ada yang sedang menikmati ketenangan, memulihkan emosi atau mencari ruang bernafas daripada tekanan hidup.
Kesunyian sebenar berlaku apabila seseorang merasa tidak difahami, tidak disayangi dan tidak mempunyai hubungan bermakna walaupun berada di tengah keramaian.
Mungkin penyelesaian kepada kesunyian moden bukan sekadar terapi atau aplikasi kesihatan mental, tetapi menghidupkan semula ruang-ruang manusia untuk saling bertemu.
Kadangkala, sebuah bangku di taman, gelanggang futsal komuniti, perpustakaan kecil atau warung kopi biasa mampu menjadi “ubat sosial” yang lebih besar nilainya daripada yang kita sangka.
Dalam dunia yang semakin laju, manusia sebenarnya masih mencari perkara paling asas iaitu rasa diterima dan tidak keseorangan.

Rujukan:
- Gordon, N. P., & Stiefel, M. C. (2024). A brief but comprehensive three-item social connectedness screener for use in social risk assessment tools. PLoS ONE, 19(7), e0307107–e0307107. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0307107
- Malaysian youths’ mental health status at moderate level, study finds. (n.d.). The Star. https://www.thestar.com.my/news/nation/2024/04/22/malaysian-youths039-mental-health-status-at-moderate-level-study-finds
- Jing, J., Dahlberg, L., Canter, D., & Plater-Zyberk, E. (2024). The Role of Third Place concerning Loneliness in the Context of Ageing in Place: Three Neighbourhoods in Stockholm. Health & Social Care in the Community, 2024, 1–16. https://doi.org/10.1155/2024/4172682
- England, A. (2024, March 20). Why Third Places Are Essential to Creating Community in Modern Society. Verywell Mind. https://www.verywellmind.com/why-third-places-matter-8584788
- Kim, J., Klein-Balajee, T., Kelly, R. M., & Hiniker, A. (2025). Discord’s Design Encourages “Third Place” Social Media Experiences. ArXiv.org. https://arxiv.org/abs/2501.09951
- Lyon, S. (2025, September 22). Brewing Culture: The Story of Japan’s Kissaten Cafés | JAPAN HOUSE Los Angeles. JAPAN HOUSE Los Angeles. https://www.japanhousela.com/articles/brewing-culture-kissaten-japanese-cafe-story-coffee-tea-shop-showa-retro-tei-eikei/
- Corliss, J. (2024, September). Chronic loneliness linked to higher risk of stroke – Harvard Health. Harvard Health; Harvard Health. https://www.health.harvard.edu/heart-health/chronic-loneliness-linked-to-higher-risk-of-stroke


