Mungkin kita pernah mendengar kata-kata “semua orang menghidap ADHD (Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif)” hanya kerana seseorang itu sering terlupa, kerap kehilangan barang penting atau sukar menumpukan perhatian.
Tanggapan sebegini sebenarnya adalah mitos ‘berbahaya’ yang boleh menolak realiti gangguan perkembangan saraf serius yang benar-benar dialami oleh penghidap ADHD.
Sebetulnya, bukan semua orang menghidap ADHD. ADHD adalah gangguan kesihatan mental yang merangkumi gabungan masalah berterusan seperti mengalami kesukaran untuk memberi perhatian, hiperaktif dan tingkah laku impulsif.
Penyelidikan tentang ADHD telah dijalankan sejak berdekad lamanya. Secara klinikal, apa yang dialami oleh individu ADHD ditakrifkan oleh kriteria diagnostik yang jelas dan bukannya suatu kebiasaan atau tabiat buruk yang dialami oleh sebilangan besar orang.
Dalam kehidupan moden hari ini yang sarat dengan tekanan kerja dan tuntutan memenuhi keperluan hidup, telah menjadi lumrah manusia mengharungi hari yang tidak begitu baik.
Keadaan apabila seseorang sukar menumpukan perhatian ketika melaksanakan tugasan ataupun terlupa membawa dokumen penting dalam mesyuarat bukan bermakna seseorang itu menghidap ADHD.
Berbeza dengan individu ADHD, keadaan yang dialami adalah gangguan perkembangan saraf yang mempengaruhi keupayaan untuk mengawal perhatian dan tingkah laku yang dihidapi sepanjang hayat, bukannya ketika saat-saat tertentu sahaja.
Individu ADHD tergolong dalam kelompok neurodivergen. Oleh yang demikian, tanggapan bahawa semua orang menghidap ADHD boleh memberi kesan-kesan seperti berikut:
- Mengabaikan perjuangan sebenar setiap hari yang dilalui oleh penghidap ADHD;
- Meremehkan cabaran yang dihadapi orang dewasa dan kanak-kanak ADHD;
- Menyebabkan ahli keluarga atau guru sukar untuk mengenal pasti simptom sebenar ADHD dalam kalangan kanak-kanak; dan
- Menimbulkan stigma bahawa ADHD hanyalah alasan untuk kecuaian ataupun kesilapan.
Kenal Pasti ADHD Di Peringkat Usia
Mengenal pasti ADHD bermula dari peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa adalah sangat penting.
Jika diabaikan, hal ini boleh mendatangkan kesan negatif dalam usaha seseorang mendapatkan pendidikan dan pekerjaan malah juga boleh menjejaskan hubungan sesama manusia.
Diagnosis lewat juga boleh menyebabkan masalah dalaman yang menyukarkan perjuangan penghidap ADHD.
Walau bagaimanapun, dengan mendapatkan penilaian dan sokongan yang tepat, kanak-kanak dan orang dewasa ADHD boleh membangunkan strategi untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
Perjuangan ADHD tidak hilang seiring meningkatnya usia. Walaupun simptom ADHD zaman kanak-kanak mungkin lebih mudah dikesan di sekolah, namun cabarannya berterusan sehingga ke peringkat dewasa.
Perbezaannya terletak pada cara ia diluahkan pada peringkat usia.
Ciri-ciri ADHD Pada Kanak-kanak
Kanak-kanak ADHD sering menunjukkan hiperaktif yang ketara dan kesukaran menumpukan perhatian.
Di sekolah misalnya, guru yang mengajar mungkin perasan bahawa kanak-kanak ADHD sukar untuk duduk diam, terburu-buru menjawab soalan, sering membuat kesilapan atau cuai dalam menyiapkan tugasan.
Di rumah pula, ibu bapa mungkin menyedari anak-anak mengalami kesukaran dari segi mengikut arahan, menguruskan kerja rumah atau menyusun atur barang, kelengkapan dan sebagainya.
Petunjuk utama ADHD pada kanak-kanak termasuk:
- Kerap mengalami kegelisahan;
- Mudah lupakan arahan atau kerja sekolah;
- Kawalan impuls yang lemah seperti mengganggu atau bertindak tanpa berfikir; dan
- Masalah mengekalkan fokus semasa mengikuti aktiviti pembelajaran.
Simptom ADHD di peringkat awal memerlukan sokongan melalui perkhidmatan pendidikan khas atau pelan keperluan pendidikan khas di sekolah.
Ciri-ciri ADHD Pada Orang Dewasa
Meningkat dewasa, individu ADHD akan kurang mengalami hiperaktif, namun masih mengalami gangguan fungsi set kemahiran kognitif yang berterusan.
Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang itu bergelut dengan prestasi di tempat kerja seperti sering gagal menyiapkan tugasan sebelum tarikh akhir.
Individu ADHD dewasa juga berdepan cabaran mengekalkan kestabilan hubungan dan urusan harian.
Namun begitu, memahami langkah-langkah perlu dalam diagnosis ADHD boleh membantu dalam menetapkan hala tuju yang jelas bagi menguruskan cabaran ini.
ADHD yang tidak dirawat dalam kalangan orang dewasa berpotensi meningkatkan risiko gangguan penggunaan bahan, gangguan kebimbangan atau keadaan lain seperti gangguan mood.
Ramai orang dewasa neurodivergen juga melaporkan disregulasi dalaman dan kesukaran mengimbangi di antara kehidupan berkeluarga dan berkerjaya.
Merujuk Manual Diagnostik dan Statistik untuk Gangguan Mental, Edisi Kelima (DSM-5), kriteria klinikal ADHD dewasa yang akan dirujuk adalah seperti berikut:
Kurang Perhatian (Inattention)
- Sering mengalami kesukaran untuk mengekalkan perhatian seperti ketika mendengar kuliah, perbualan atau bacaan yang panjang.
- Selalu gagal memberi perhatian pada butiran penting atau membuat kesilapan dalam tugasan seperti terlepas pandang atau terlepas butiran dan kerja tidak tepat.
- Kerap kelihatan seperti tidak mendengar ketika bercakap secara langsung walaupun tanpa ada sebarang gangguan yang jelas.
- Mengalami kesukaran mengatur tugas atau aktiviti.
- Selalu tidak mengikut arahan dan gagal menyelesaikan tugas di tempat kerja.
- Sering mengelak atau tidak suka tugasan yang memerlukan kekuatan mental yang berterusan seperti menyediakan laporan atau mengisi borang.
- Kerap kali kehilangan barangan dan keperluan penting seperti dompet dan telefon bimbit.
- Sering terganggu dengan rangsangan luar termasuklah pemikiran yang tidak berkaitan.
- Mudah terlupa dalam urusan harian seperti membalas panggilan, membayar bil atau memenuhi janji temu.
Hiperaktif dan Impulsif
- Sentiasa gelisah seperti mengetuk-ngetuk tangan dan kaki atau menggeliat di tempat duduk.
- Sering berasa resah.
- Kerap meninggalkan tempat duduk dalam situasi yang memerlukan seseorang itu duduk.
- Tidak selesa duduk diam untuk tempoh masa yang lama seperti dalam mesyuaratt dan ketika makan di restoran.
- Selalu tidak dapat melibatkan diri dalam aktiviti secara senyap.
- Bercakap secara berlebih-lebihan.
- Sukar menunggu giliran seperti beratur dalam barisan.
- Sering mencelah ketika orang lain sedang bercakap atau memberi jawapan sebelum soalan selesai.
- Cenderung untuk mengganggu seperti mengambil alih tugasan orang lain atau campur tangan.
Penilaian ADHD yang komprehensif boleh membantu mengenal pasti cabaran ini dan seterusnya menyediakan laluan yang jelas ke arah bantuan dan sokongan yang tepat.
Penilaian ADHD juga penting untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu mempunyai ADHD ataupun sebaliknya serta membantu membangunkan strategi rawatan yang sesuai.
Mitos Mengenai ADHD Yang Memudaratkan Pemahaman
Tanggapan salah tentang ADHD telah berterusan selama beberapa dekad sehingga menimbulkan stigma dan menghalang golongan terkesan daripada mendapatkan rawatan dan sokongan.
Daripada dakwaan bahawa semua orang menghidap ADHD kepada kepercayaan bahawa ADHD disebabkan semata-mata oleh faktor persekitaran, mitos-mitos ini sebenarnya telah membayangi perspektif saintifik yang mentakrifkan ADHD sebagai gangguan perkembangan saraf yang sah.
Antara mitos-mitos lain tentang ADHD:
- ADHD tidak wujud: Dibuktikan dengan kajian dan pengiktirafan ADHD selama beberapa dekad dalam Manual Statistik Gangguan Mental.
- ADHD hanyalah kemalasan: Pada hakikatnya, ia terikat dengan perbezaan dalam fungsi eksekutif dan struktur otak.
- ADHD hanya memberi kesan kepada kanak-kanak: Orang dewasa juga bergelut, kebiasaannya berkaitan dengan pengurusan masa dan kawalan impuls yang lemah dan masalah prestasi di tempat kerja.
Mempercayai mitos ADHD boleh mendatangkanimplikasi negatif seperti menyebabkan kelewatan dalam diagnosis yang tepat, mempercayai bahawa simptom ADHD pada kanak-kanak adalah perkara biasa, mengelakkan penilaian kerana takutkan stigma dan keengganan untuk mendapatkan rawatan yang berkesan.
Kepentingan Memahami Apa Sebenarnya ADHD
Salah faham tentang ADHD perlu diperbetulkan. Selama beberapa dekad, pakar telah mengesahkan ADHD adalah gangguan sebenar yang dosokong oleh bukti saintifik dan kajian neurologi yang berterusan.
Oleh sebab itulah mengapa diagnosis penting sebagai langkah awal bagi mengesahkan sama ada seseorang itu menghidap ADHD.
Diagnosis yang tepat juga berupaya membongkar mitos. Apabila mitos dibongkar, orang ramai dapat mengenali perjuangan sebenar golongan ADHD, seterusnya dapat menyangkal dakwaan bahawa ADHD adalah sebahagian daripada tingkah laku normal.
Kesimpulan
Kesimpulannya, individu yang hidup dengan ADHD mengharungi cabaran dalam mendapatkan pendidikan, pekerjaan dan perhubungan.
Mujurlah, kajian saintifik selama berpuluh tahun dapat mewujudkan sokongan berstruktur yang mampu membezakan simptom ADHD dengan tingkah laku atau kondisi normal dengan ketara.
Mempercayai mitos hanya akan menjejaskan pemahaman terhadap cabaran sebenar yang dihadapi oleh golongan ADHD.
Menerusi pemahaman yang jelas dan peningkatan kesedaran, stigma terhadap ADHD bukan sahaja dapat dikurangkan, malah juga mampu mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif.
Rujukan:
https://www.audhdpsychiatry.co.uk/insights/does-everyone-have-adhd
https://www.adhdawarenessmonth.org/wp-content/uploads/everyone-has-a-little.pdf



